Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Detik cemas ketika gegaran kuat melanda sebuah hospital di Semenanjung Kamchatka Rusia tidak menghalang sekumpulan pakar bedah untuk terus menyelamatkan nyawa pesakit mereka.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari hospital berkenaan menunjukkan petugas perubatan tetap tenang dan fokus menjalankan prosedur pembedahan, meskipun gempa bumi berukuran 8.8 magnitud menggegarkan kawasan itu.
Video tular berkenaan yang dikongsi oleh Menteri Kesihatan Kamchatka, Oleg Melnikov memperlihatkan keberanian luar biasa pasukan perubatan yang langsung tidak berganjak dari bilik pembedahan, biarpun gegaran jelas terasa dan kelihatan peralatan bergoyang akibat goncangan kuat dari bawah.
Baca juga:
- ‘Saya nak brek, tapi tertekan pedal minyak’ – Pemandu cuai langgar 20 murid sekolah
- Enggan tukar tempat duduk tepi tingkap dengan budak, wanita fail saman selepas video tular
- AS minta pelancong serahkan rekod media sosial lima tahun sebelum dibenarkan masuk
Menurut Melnikov, kejadian itu berlaku di sebuah pusat rawatan kanser di wilayah tersebut, dan tindakan pantas serta ketabahan para doktor telah memastikan pembedahan dapat disempurnakan.
“Pesakit dalam keadaan selamat dan sedang pulih dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Tindakan para petugas kesihatan itu menerima pujian ramai, dengan netizen menyifatkan mereka sebagai ‘wira sebenar’ yang meletakkan nyawa pesakit melebihi keselamatan diri sendiri dalam saat genting.








