Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Atas dasar simpati dan kasihan melihat rakannya yang sedang berjuang dengan dugaan hidup, seorang lelaki meminta pihak yang berwajib mengambil perhatian isu yang melanda rakannya yang digelar Cikgu Din.
Kongsinya, Cikgu Din merupakan seorang pendidik di Sarawak telah membuat beberapa kali permohonan pertukaran ke semenanjung kerana keadaan kesihatan isterinya yang menghidap kanser tulang rawan tahap empat.
Cikgu Din sebelumnya telah berulang alik dari Sarawak ke Kota Bharu, Kelantan setiap dua minggu untuk menemani isteri selain memberikan kata-kata semangat.
“Duit. Masa. Tenaga. Semua kena korban. Sampaikan kawan saya terpaksa minta cuti tanpa gaji sebab semua cuti dah ambik.
“Walaupun dah selesai satu pusingan Chemo, sel kanser pada badan isterinya masih lagi ada. Malah lebih teruk, sel kanser itu makin membesar,” kongsinya.
Melihat keadaan isterinya, Cikgu Din telah memohon pertukaran, namun masih belum diluluskan. Bermacam-macam cara sudah dibuat namun alasan yang diberikan mengecewakan memandangkan khidmatnya masih belum cukup tiga tahun.
Satu persatu ujian yang melanda, Cikgu Din pula disahkan menghidap MDD (Major Depressive Disorder) dan dia perlu berulang alik ke hospital untuk rawatannya.
“Saya hanya mahu Cikgu Din berada di sisi isterinya untuk hujung hujung waktu begini. Tapi tulisan saya juga takkan merubah apa apa.
“Sebarkanlah kisah ini supaya dapat memberi ketumbukan kepada orang orang yang sepatutnya. agar Cikgu Din dan isteri boleh bersama semula dan mampu mentitip kalimah suci sebelum segalanya berakhir. Sebelum hanya tinggal memori, yang disulami penyesalan dan dendam,” katanya.
Bagaimanapun, menerusi komen yang ditinggalkan oleh Cikgu Fadli, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak sudah sedaya upaya membantu namun hanya menunggu jawapan dari Kementerian Pendidikan Malaysia.
Sumber: Harima Abd Rahman