Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Penceramah bebas, Datuk Mohammad Kazim Elias kini dilaporkan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital selepas mengalami masalah saluran jantung sempit.
Perkhabaran tersebut dimaklumkan oleh abangnya, Datuk Mohd Najmuddin Elias menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut beliau, Ustaz Kazim telah menjalani prosedur memasukkan belon bagi melancarkan dan meluaskan saluran jantung yang tersumbat. Bagaimanapun, selepas satu belon dimasukkan, pihak doktor mendapati terdapat satu lagi saluran yang turut sempit dan memerlukan prosedur tambahan.
Baca juga:
- Ucapan anak Allahyarham Dr Aiman sentuh hati ramai
- PN ucap tahniah kepada Vijay, puji kemenangan TVK di Tamil Nadu
- ‘Type M, C dan I bukan lagi gurauan, tapi kemarahan tersirat’ – Zahid Hamidi
Tambahnya, adiknya sebelum ini ada mengadu mengalami kesakitan yang amat teruk, dipercayai berkaitan dengan masalah jantung tersebut.
“Setelah dimasukkan satu belon,doktor mendapati ada satu lagi saluran sempit yang perlukan tambahan satu belon lagi…Saya difahamkan beliau mengadu teramat sakit dari sebelum sebelum ini,” katanya.
Buat masa ini, pihak hospital tidak membenarkan sebarang lawatan kecuali daripada isteri beliau sahaja.
Dalam masa sama, Mohd Najmuddin merayu kepada orang ramai, khususnya peminat dan pencinta ilmu, agar mendoakan kesembuhan Ustaz Kazim supaya dapat kembali meneruskan usaha dakwah serta menguruskan pusat pengajian Al Barakah yang diterajuinya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menunjukkan keprihatinan serta mendoakan kesejahteraan adiknya, dan memaklumkan bahawa sebarang perkembangan lanjut akan dikongsi dari semasa ke semasa.
Dalam hantaran di Facebook Ustaz Kazim juga dimuat naik gambar Ustaz Kazim yang berkerusi roda berserta kapsyen yang memohon orang ramai mendoakan kesembuhannya.








