Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Luluh hati seorang ibu apabila seorang anak yang periang mula berubah menjadi pendiam dan mudah menangis.
Perubahan ketara anaknya itu didakwa kerana telah dicubit oleh guru sehingga meninggalkan bekas. Tindakan guru berkenaan juga telah membuatkan anaknya yang dikenali sebagai Hafiz, murid Tahun Dua di sebuah sekolah agama di Langkawi trauma dan tidak mahu ke sekolah.
Menurut ibunya, Puteri Sheryl Emyra Rosli, Hafiz mendakwa dicubit dua kali di lengan dalam dua kejadian yang berasingan oleh guru wanita yang sama.
Katanya, kejadian pertama berlaku pada Ogos lalu dan yang terbaharu pada 16 Disember baru-baru ini dengan alasan anaknya bising dalam kelas.
“Selain kena cubit, anak saya sebelum itu pernah didenda ketuk ketampi sebanyak 50 kali oleh guru berlainan. Bagaimana pun isu terbabit diselesaikan dengan baik bersama pihak sekolah.
“Dia juga ada perilaku aneh apabila selalu menggigit leher bajunya seperti tertekan. Cikgu tu cubit lengan anak sampai terkeluar kulit jadi bila kena air anak saya menangis kerana pedih,” katanya.
Susulan itu juga, wanita berkenaan telah membuat laporan polis selain berjumpa dengan pihak pengurusan sekolah bagi mendapatkan pencerahan tentang isu yang berlaku ke atas anaknya.
“Selepas saya nampak lebam pada tangan anak, saya terus buat laporan polis dan juga pemeriksaan kesihatan. Saya juga sudah berjumpa dengan pengurusan sekolah untuk mendapatkan pencerahan tentang kes ini.
“Bagaimanapun, jawapan yang saya terima sangat mengecewakan. Sekolah beri alasan lebam di tangan Hafiz itu disebabkan anak saya cuba menyakiti dirinya sendiri.
“Saya kenal anak saya, dia takkan sakiti dirinya sendiri. Apa yang lebih mengecewakan sehingga hari ini saya langsung tidak menerima permohonan maaf dari seorang guru pun,” jelasnya.
Sumber: Sinar Harian








