Penyanyi Mamat Exist memberi peringatan kepada pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad, untuk berhati-hati ketika bergurau di pentas program terbitan Astro.
Mamat atau nama sebenarnya, Mohd Ali Kamarudin, 45, berkata, dia telah membaca penjelasan Nabil dan memahami gurauan tersebut. Tetapi bukan semua orang boleh memahami gurauan tersebut.
“Ia bergantung kepada pada pemahaman masing-masing. Saya pun tak tahu nak cakap macam mana. Tapi saya malas nak besar-besarkan perkara ini.
“Cuma kalau boleh, dia kena lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kata-kata sebab program All Star Gegar Vaganza ini pun bukan biasa-biasa. Ia antara program grand terbitan Astro.
“Jadi, percakapan ‘lepas’ untuk bergurau yang dibuat itu boleh jadi viral,” katanya.
Pertengahan Ogos lalu, Mamat menjadi bualan ramai apabila seorang pengguna TikTok @warungsiputsedut berkongsi video keadaannya yang terkini mengundang pelbagai reaksi orang ramai.
Terkejut dengan tubuh badannya yang kelihatan kurus dan pipi cengkung, sehingga ada yang mendakwa Mamat mengambil bahan terlarang. Tetapi dakwaan itu disangkal oleh Mamat.
Menurut Mamat, dia telah lama meninggalkan gejala tidak sihat itu dan mahu menjalani kehidupan yang lebih baik.
“Kesihatan saya baik sahaja. Itu video lama dan ditularkan sejak sebulan lalu. Ketika itu saya dalam keadaan tidak bersedia. Jadi, disebabkan itulah orang lihat saya tak berapa sihat.
“Ramai yang komen bukan-bukan. Kenapa perlu cakap perkara seperti itu? Sepatutnya berilah sokongan kepada saya,” katanya.
Sumber: Harian Metro, Berita Harian