Atlet rejam lembing dari Pakistan, Arshad Nadeem, telah mencipta sejarah di Olimpik Paris 2024 dengan memenangi pingat emas dalam acara rejam lembing.
Beliau mencatatkan rekod Olimpik baharu dengan lontaran sejauh 92.97 meter, menjadikannya atlet pertama dari Asia Selatan yang melepasi jarak 90 meter dalam acara ini.
Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama Pakistan, tetapi juga memberi inspirasi kepada ramai atlet muda di seluruh negara.
Berasal dari keluarga susah
Arshad berasal dari Mian Channu, sebuah kampung kecil di Punjab, Pakistan dan merupakan anak kepada seorang pekerja pembinaan yang telah bersara. Keluarga bukanlah orang senang dan bergelut dengan masalah kewangan. Tetapi semua itu tidak menghalang Arshad untuk tetap berusaha keras mencapai impiannya.
Semasa zaman persekolahan, Arshad bukan sahaja cemerlang dalam sukan rejam lembing, tetapi juga dalam sukan lain seperti kriket, badminton dan bola sepak.
Penduduk kampung sanggup bantu
Penduduk di kampung turut memainkan peranan besar dalam kejayaannya hari ini. Mereka sanggup mengumpul wang untuk membiayai latihannya dan membantu membeli lembing baru apabila lembing lamanya yang telah digunakan selama 8 tahun rosak.
Arshad juga menggunakan media sosial untuk mengumpul dana bagi menggantikan lembing lamanya. Disebabkan kekurangan kemudahan latihan yang baik, Arshad sering menggunakan peralatan buatan sendiri dan berlatih di padang terbuka.
Kali terakhir Pakistan memenangi pingat emas dalam sukan Olimpik adalah pada tahun 1984 dalam acara hoki lelaki di Los Angeles. Sejak itu, mereka tidak memenangi sebarang pingat emas sehingga kejayaan Arshad Nadeem di Olimpik Paris 2024.
Kisah Arshad Nadeem adalah contoh terbaik tentang bagaimana semangat, dedikasi dan sokongan komuniti dapat membawa seseorang dari latar belakang yang sederhana ke puncak kejayaan. Dari padang kampung ke puncak Olimpik, Arshad Nadeem telah membuktikan bahawa tiada impian yang tidak boleh dicapai.