Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan partinya tidak pernah berhasrat untuk menjalin kerjasama politik dengan MCA, sekali gus menolak dakwaan segelintir pemimpin parti berkenaan.
Anthony yang juga Menteri Pengangkutan berkata, kenyataan MCA kononnya menolak kerjasama dengan DAP tidak berasas kerana DAP sendiri tidak pernah menyuarakan hasrat tersebut.
“Setiap hari MCA keluarkan kenyataan kata tak mahu bekerjasama dengan DAP. Saya nak tegaskan, kita pun tak pernah cakap nak bekerjasama dengan mereka. Jadi janganlah perasan sangat kononnya DAP ini mahu sangat kerjasama dengan MCA. Janganlah berfikir seolah-olah DAP tidak boleh hidup tanpa mereka,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Baca juga:
- Rosol Wahid tidak akan buat rayuan penggantungan BERSATU

- Vijay angkat sumpah Ketua Menteri Tamil Nadu

- Dua ADUN dipecat, empat pemimpin Bersatu digantung keahlian

Kerangka Kerajaan Perpaduan jadi asas
Menurut Anthony, kerjasama politik ketika ini berlandaskan kerangka Kerajaan Perpaduan yang dirunding bersama pemimpin Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO.
“Setakat ini yang saya tahu, pemimpin utama BN khususnya UMNO sudah pun memberikan komitmen jelas mahu memperkuatkan kerajaan ini. Tetapi sekarang, pemimpin MCA dan MIC pula suka buat kenyataan yang bercanggah. Mungkin mereka rasa tidak sebahagian daripada kerajaan ini, saya tidak pasti. Itu terpulang kepada mereka,” katanya.
Fokus utama kepada rakyat, bukan politik pilihan raya
Ahli Parlimen Seremban itu turut menegaskan semua pemimpin DAP memberi tumpuan untuk menunaikan tanggungjawab kepada rakyat, bukan berpolitik menjelang pilihan raya.
“Sebagai menteri, timbalan menteri atau ahli Kabinet, kita kena pastikan dasar-dasar kerajaan berjalan dan projek pembangunan sampai kepada rakyat. Kita tak setiap hari bercakap soal pilihan raya. Kalau ahli politik asyik fikir soal parti masing-masing sahaja tanpa peduli rakyat, akhirnya rakyat akan menilai sendiri,” ujarnya.
Sebelum ini, MCA dilapor menegaskan sukar untuk menerima kerjasama dengan DAP walaupun berada dalam kerajaan yang sama, selepas Ahli Parlimen Kampar daripada DAP, Chong Zhemin mencadangkan agar MCA dibubarkan dan menyertai DAP.
Sumber: Sinar Harian, Malaysia Gazette








