'Dakwaan nepotisme terhadap Nurul Izzah tidak berasas' - Nazri Aziz | The Reporter

‘Dakwaan nepotisme terhadap Nurul Izzah tidak berasas’ – Nazri Aziz

Nazri Aziz tepis dakwaan mengatakan Nurul Izzah sebagai nepotisme
Gambar: Utusan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Datuk Seri Nazri Aziz berpandangan bahawa kritikan terhadap Nurul Izzah Anwar berhubung dakwaan nepotisme adalah tidak tepat dan menegaskan kedudukan pemimpin itu dalam PKR diperoleh melalui proses pemilihan parti yang sah.

Beliau berkata, jawatan Timbalan Presiden PKR bukan diberikan secara automatik atau melalui pengaruh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya dimenangi Nurul Izzah selepas menewaskan Datuk Seri Rafizi Ramli dalam pertandingan terbuka.

“Izzah bukan dilantik oleh bapanya. Dia bertanding, menang, dan dipilih oleh perwakilan. Itu bukan nepotisme,” jelas Nazri.

Menurut bekas Menteri Pelancongan itu, nepotisme hanya berlaku apabila seseorang ahli keluarga diberikan jawatan tanpa melalui proses pemilihan atau persaingan.

Nazri turut mengingatkan bahawa jika kemenangan individu yang mempunyai hubungan keluarga dengan pemimpin parti dianggap nepotisme, ia seolah-olah menafikan hak mereka untuk menyertai proses demokrasi dalam parti.

Beliau turut membandingkan kedudukan Izzah dengan Datuk Seri Rafizi Ramli dan menegaskan bahawa ketika Rafizi menyandang jawatan Timbalan Presiden PKR, beliau dianggap layak menyertai Kabinet. Katanya, tidak wajar jika kelayakan serupa dinafikan kepada Izzah.

“Izzah lebih lama dalam politik dan melalui pengalaman sukar ketika ayahnya dipenjara. Dia ada ketahanan mental yang kuat dan saya percaya dia layak memikul apa-apa jawatan sekali pun,” katanya.

Baca juga:

Nazri menambah bahawa sudah menjadi kebiasaan dalam PKR untuk memberi ruang kepada Timbalan Presiden menyertai pentadbiran atau Kabinet, sekali gus memberi pengalaman yang diperlukan bagi kepimpinan parti.

“Tak patut anak PM pula yang disusahkan untuk masuk politik. Kalau dia menang secara sah, kenapa perlu dinafikan?

“Saya hormat dia punya kekuatan mental dan pada saya Izzah layak untuk apa jawatan sekali pun. Bahkan dia lebih layak daripada menteri PKR yang ada sekarang dalam Kabinet.

“Izzah layak sebab dia Timbalan Presiden PKR.

“Dia juga boleh masuk Kabinet sekarang sebab sudah menjadi kelaziman Timbalan Presiden PKR ada dalam Kabinet urus pentadbiran, pengarah pilihan raya jadi kenalah bagi dia kekuatan pengalaman kena bagi jawatan. Kalau tidak susah jadi anak PM payah nak masuk politik, mana boleh macam tu,” bidas Nazri.

Sumber: Suara TV

Related Posts