'Dah bertahun dia scam orang, ingatkan dah insaf' - Wanita disyaki guna bayi untuk scam orang di pasar raya | The Reporter

‘Dah bertahun dia scam orang, ingatkan dah insaf’ – Wanita disyaki guna bayi untuk scam orang di pasar raya

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang wanita tidak menyangka dia akan menjadi mangsa penipuan di sebuah pasar raya di Bukit Antarabangsa. Kejadian ini membuka mata ramai untuk lebih berwaspada terhadap modus operandi penipuan yang semakin licik.

Menurut pengadu, Aireen Nadyia, kejadian tersebut berlaku pada 27 Ogos lalu di pusat beli belah berkenaan di mana dia terserempak dengan wanita itu semasa memasuki pasar raya Giant.

“Saya terserempak dengan wanita muda ini yang kelihatan langsing dan memakai solekan. Kami berpandangan mata ketika memasuki Giant dan saya memberikan senyuman mesra. Tetapi dia mengamati saya dari atas ke bawah, seolah-olah sedang menganalisis saya,” katanya.

“Kira-kira 10 minit kemudian, dia menghampiri saya dan mahu meminjam wang untuk membeli lampin pakai buang sebab anaknya telah membuang air besar dan lampin perlu ditukar. Dia berjanji akan membayar semula wang itu pada malam hari setelah mendapat wang dari rakannya,” katanya.

Aireen dengan niat baik bersetuju untuk membantu dan meminta wanita itu mengambil lampin yang diperlukan dan akan dibayar bersama dengan barangnya di kaunter. Tetapi, wanita itu menolak dan mendesak Aireen memindahkan wang ke akaun banknya.

“Saya pindahkan RM50 ke akaun Maybank miliknya atas nama Shikin. Ketika saya menaip jumlah tersebut di aplikasi Maybank, dia kelihatan ragu-ragu dan berkata kepada dirinya sendiri, “Cukup ke?”.

“Dia berdiri berdekatan dengan saya dan memandang skrin telefon saya sepanjang proses itu, mungkin dia mahu memastikan saya benar-benar memindahkan wang kepadanya. Saya dah mula rasa ada sesuatu yang tidak kena, seolah-olah dia sedang mengambil kesempatan dari kebaikan saya.

“Disebabkan itu, niat awal saya untuk membantu terus terhenti dan saya mengambil keputusan untuk melihat bagaimana perkara ini akan berakhir dengan menyetujui rancangannya untuk membayar balik,” katanya.

Bagaimanapun, Shikin langsung tidak membalas mesejnya di WhatsApp. Dua hari kemudian, wanita yang sama muncul semula dan menghampiri suami Aireen di lokasi yang sama.

“Sekali lagi meminta meminjam wang untuk membeli lampin pakai buang. Semasa suami dengan Shikin bercakap di tempat letak kereta, ada sebuah kereta berhenti berdekatan dan bertanya, “Dah beli ke pampers?”. Ini bermakna dia telah ‘mengumpul wang untuk membeli lampin’ daripada pengunjung di situ”.

Suami Aireen menghubungi Aireen melalui panggilan video untuk memastikan Shikin adalah individu sama dengan wanita yang ditemuinya sebelum ini.

“Dan memang betul, dia adalah individu yang sama. Shikin terkesima dan enggan melihat saya. Lalu saya meminta suami mengambil gambarnya sebagai bukti,” katanya.

Rupa-rupanya Shikin telah melakukan penipuan ini sejak sekian lama. Aireen juga memaklumkan kakak iparnya pernah menjadi mangsa penipuan Shikin di Giant Taman Permata, sekitar bulan Januari atau Februari 2024.

Sementara itu berdasarkan tinjauan di ruang komen, ada beberapa individu mendakwa Shikin telah lama melakukan perbuatan keji ini.

Related Posts