Cuti hujung minggu Johor ditukar semula kepada Sabtu, Ahad  | The Reporter

Cuti hujung minggu Johor ditukar semula kepada Sabtu, Ahad 

Sumber Gambar: Jaringan X HRH Crown Prince of Johor

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Bermula 1 Januari 2025, cuti hujung minggu di Johor akan ditukar kepada Sabtu dan Ahad.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, dalam kenyataan di jaringan X, baginda sudah menitahkan perkara tersebut kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Titah baginda, perkara berkenaan telah mendapat perkenan dan restu ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta mendapat pandangan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

“Selepas mendapat perkenan dan restu ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta mendapat pandangan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), saya ingin mengumumkan bahawa mulai 1 Januari 2025, cuti hujung minggu di negeri Johor akan ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad.

“Saya juga menitahkan agar YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dan Mufti Negeri Johor mengadakan perbincangan dan meneliti perkara ini dari setiap sudut dan aspek.

“Saya berharap agar semua syarikat swasta, pihak kerajaan serta pihak yang berkaitan akan memberi ruang dan masa yang mencukupi untuk pekerja Muslim menunaikan solat Jumaat pada waktunya,” titah baginda.

Terdahulu, pada tahun 2014 Sultan Ibrahim menukar cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu, sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan Agama Islam sebagai agama rasmi Johor.

Sumber: HRH Crown Prince of Johor, Berita Harian

Related Posts