Cleaner mengaku rogol pelajar sehingga melahirkan anak, rayu keluarga cari RM8,000 untuk bayar ikat jamin | The Reporter

Cleaner mengaku rogol pelajar sehingga melahirkan anak, rayu keluarga cari RM8,000 untuk bayar ikat jamin

New Straits Times

Seorang pekerja syarikat pembersihan, Muhammad Zuladha Ferhad Zuraini, 23, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Muar atas tuduhan merogol seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun sehingga mangsa melahirkan anak dua tahun lalu.

Pengakuan tersebut dibuat di hadapan Hakim Abu Bakar Manat selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Difahamkan, kejadian berlaku di rumah tertuduh antara Ogos hingga November 2022.

Kes ini terbongkar apabila mangsa mengalami pening dan pengsan di sebuah tapak ekspo pada Disember 2022.

Pemeriksaan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah mendapati, mangsa hamil 14 minggu.

Laporan polis dibuat oleh keluarga mangsa pada 17 Disember 2022 dan tertuduh ditahan tiga hari kemudian.

Mangsa telah melahirkan anak pada 12 Jun 2023, namun bayi tersebut diserahkan kepada pihak lain.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Ogos ini untuk pendakwaan menyediakan fakta dan hukuman.

Tertuduh juga diarahkan melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar setiap awal bulan serta dilarang mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa dan keluarganya.

Tertuduh sebelum itu sempat meminta ahli keluarganya mendapatkan wang untuk membayar ikat jamin.

“Tolonglah minta bantuan sesiapa,” katanya.

Sumber: Harian Metro (Alias Abd Rani)

Related Posts