Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mempersoalkan kadar gaji pendidik Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di bawah kendalian PAS yang dibayar sekitar RM600 hingga RM700 sebulan yang didakwa bukan sahaja tidak mematuhi perintah gaji minimum, malah melanggar Akta Majlis Perundingan Gaji Negara.
Perkara itu dibangkitkan ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini. Beliau turut mempersoalkan alasan PAS bahawa gaji rendah itu kerana pendidik berkenaan bekerja secara sukarela.
Jelas Nik Nazmi, mengikut statistik terkini 2024, terdapat 2,497 PASTI di seluruh negara membabitkan 9,979 pendidik dan 125,065 pelajar.
“Kita terima banyak aduan termasuk daripada pendidik sendiri soal penggajian sekitar RM600 hingga RM700 atas alasan mereka sukarela dan bukannya pekerja. Sedangkan ini jelas pelanggaran Akta Majlis Perundingan Gaji Negara.
“Kalau guna alasan sukarela, semua syarikat boleh kata pekerja mereka sukarela dan tidak tertakluk perintah gaji minimum. Tidak ada caruman KWSP, PERKESO dan lain-lain,” katanya.
Baca juga:
- Rafizi Ramli desak keputusan segera, sedia dipecat jika langgar perlembagaan parti
- Kanak-kanak lelaki lemas, jatuh dalam Terusan Sungai Dua di Bertam
- ‘Indonesia antara negara paling selamat jika Perang Dunia III berlaku’ – Prabowo
MP Bachok jelaskan situasi
Kenyataan itu mencetuskan reaksi segera beberapa Ahli Parlimen pembangkang mewakili PAS.
Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) menjelaskan, walaupun gaji rendah, cikgu PASTI menerima imbuhan lain seperti bayaran mengajar Iqra. Beliau turut menegaskan PASTI tidak menggunakan dana cukai rakyat seperti Kemas, prasekolah KPM atau Tabika Perpaduan, sekali gus membantu mengurangkan beban fiskal kerajaan.
“Mereka bekerja empat jam, amat singkat dan banyak PASTI tampung dengan imbuhan lain,” ujarnya.
Suasana Dewan menjadi lebih panas apabila Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) turut cuba mencelah, namun Nik Nazmi enggan memberi laluan dan meneruskan perbahasannya.








