'Cikgu merokok, hisap vape di sekolah boleh didenda sehingga RM10,000' - Fadhlina | The Reporter

‘Cikgu merokok, hisap vape di sekolah boleh didenda sehingga RM10,000’ – Fadhlina

Fadhlina Sidek memaklumkan cikgu yang didapati menghisap vape atau merokok di kawasan sekolah boleh dikenakan denda sehingga RM10,000.
Gambar: Facebook Fadhlina Sidek.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan golongan pendidik yang menghisap vape atau merokok di kawasan sekolah boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.

Jelasnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pendidik yang melakukan kesalahan berkenaan.

“KPM tidak akan berkompromi dengan pendidik yang menggunakan vape, khususnya secara terbuka atau di hadapan murid kerana ia melanggar SGM yang menekankan peranan pendidik sebagai teladan sahsiah,” katanya menerusi kenyataan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN–Padang Terap) berhubung isu segelintir pendidik yang menggunakan vape secara terbuka sehingga memberi contoh negatif kepada murid dan menjejaskan kredibiliti institusi pendidikan.

Baca juga:

Fadhlina turut memaklumkan, KPM kini dalam proses meminda Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) bagi memasukkan larangan merokok termasuk penggunaan rokok, perkakasan, alat elektronik dan cecair vape.

Pindaan itu katanya, selaras dengan penguatkuasaan Akta 852 yang diwartakan Kementerian Kesihatan (KKM) pada 1 Oktober 2024, meliputi larangan penjualan vape kepada individu bawah umur 18 tahun dan penguatkuasaan terhadap premis yang menjual vape dalam jarak 40 meter dari pagar sekolah.

“KPM mengharapkan kerjasama masyarakat dan pihak berkuasa tempatan untuk memantau penjualan serta pembelian vape oleh murid sekolah.

“Ibu bapa dan penjaga juga perlu peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak agar tidak terjebak dengan ketagihan menghisap vape,” katanya.

Sumber: Kosmo

Related Posts