Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Baru-baru ini, seorang guru dikenali sebagai Cikgu Syamir Syazani berkongsi pengalaman di TikTok mengenai mesej yang diterima daripada ibu seorang murid, meminta beliau sendiri mengambil buku latihan anaknya dari dalam beg untuk disemak.
Mesej tersebut berbunyi, “Aslm… nanti cikgu ambil buku latihan yang cikgu nak semak tu kat dalam beg anak. Dia tak tahu buku mana. Nanti takut kena marah pula sebab tak hantar.”
Cikgu Syamir menyatakan rasa terkilan dengan cara permintaan itu disampaikan yang menurutnya kurang beradab, apatah lagi mesej dihantar pada lewat malam.
Sebagai guru, beliau tidak berkira untuk membantu, namun berharap ibu bapa lebih beradab dalam berkomunikasi. Katanya, ramai ibu bapa lain juga pernah meminta bantuan dengan cara yang lebih sopan, membuatkan hatinya lebih tenang dan berbesar hati untuk membantu.
“Entahlah, sama ada saya hati tisu, cepat koyak atau biasa ja ayat puan tu. Tapi tulah, saya merasakan macam takda adab di situ. Plus, dah tengah malam mesejnya pun. Harap teguran ni dijadikan pedoman buat ibu bapa.
“Saya boleh ja nak tolong dan tak berkira malah berbesar hati cuma ayat tu macam tak kena. Mungkin boleh taip, “salam cikgu, maaf mengganggu, boleh ka nak minta tolong cikgu……”
Cikgu Syamir turut mengingatkan bahawa guru juga manusia biasa yang boleh berasa penat dan mudah terasa, justeru teguran ini diharap menjadi pedoman kepada ibu bapa lain.
“Ramai ja ibu bapa yang minta tolong dengan ayat yang lebih molek dan sopan, kan cantik macamtu, sejuk sikit hati bila baca. Ni tak, macam nak ajak gocoh. Cikgu pun manusia biasa, boleh penat, boleh terasa.”
Dalam ruangan komen, ramai netizen menyokong pandangan cikgu tersebut. Ada yang bersetuju bahawa ibu bapa sepatutnya mengajar anak berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada guru. Malah, ada juga yang berkongsi pengalaman sendiri berdepan dengan ibu bapa yang membuat permintaan melampau melalui kumpulan WhatsApp sekolah. Perbincangan turut menyentuh pentingnya adab dalam komunikasi, tidak kira walaupun melalui mesej.








