Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Majlis Amanah Rakyat (MARA) sedang dalam proses memfailkan kebankrapan terhadap pelakon Rozita Che Wan, 51, atau lebih dikenali sebagai Che Ta, serta anak sulungnya, Ammar Effendy, 28. Tindakan ini diambil kerana dua beranak itu gagal dalam melunaskan pinjaman berjumlah hampir RM1 juta sejak 2017.
Menurut sumber, pinjaman berjumlah RM960,000 itu dibuat melalui syarikat milik pelakon itu, RCW Worldwide Sdn Bhd, dengan Rozita dan anak lelakinya bertindak sebagai penjamin. Sebelum ini, MARA telah memfailkan notis kebankrapan, tetapi menarik balik tindakan tersebut akibat isu teknikal. Namun, langkah ini diteruskan dengan tindakan penyitaan harta baru-baru ini.
Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, menegaskan tindakan kebankrapan adalah langkah terakhir selepas pelbagai usaha untuk mendapatkan bayaran tidak diendahkan.
“Kami telah memberi tempoh secukupnya dan membuka ruang untuk rundingan penjadualan hutang, tetapi tiada kerjasama diterima daripada pihak mereka,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, MARA sentiasa mematuhi prosedur undang-undang yang ketat dan tidak sewenang-wenangnya mengambil tindakan terhadap peminjam.
“Nilai ihsan sentiasa diutamakan sebelum tindakan perundangan diambil, tetapi dalam kes ini, mereka tidak memberi kerjasama sepatutnya,” tambahnya.
Tindakan penyitaan harta telah dijalankan di rumah Rozita di Kota Damansara, dengan pelbagai barangan termasuk kereta, perabot, dan kasut diambil. Bagaimanapun, nilai barangan tersebut dilaporkan jauh lebih rendah daripada jumlah hutang sebenar.
Sumber turut mendedahkan, simpanan tetap bernilai RM80,000 yang dijadikan cagaran sebelum ini telah dicairkan oleh MARA. Walaupun terdapat usaha untuk membuat penjadualan semula bayaran, pihak Rozita didakwa gagal memenuhi komitmen tersebut.
Langkah kebankrapan ini dijangka diteruskan jika pelakon itu tidak melunaskan hutang sepenuhnya. Tindakan ini adalah sebahagian daripada usaha MARA untuk memastikan setiap dana rakyat yang digunakan dapat dikembalikan dan dimanfaatkan kepada individu lain yang memerlukan.
Sumber: Free Malaysia Today, Harian Metro








