Catcha Digital beli 92.5% pegangan dalam Theta Service Partner | The Reporter

Catcha Digital beli 92.5% pegangan dalam Theta Service Partner

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Catcha Digital Berhad mengumumkan langkah terbaharunya dalam meluaskan kehadiran dalam ekonomi digital serantau dengan mengambil alih 92.5% kepentingan ekuiti dalam Theta Service Partner Sdn Bhd (Theta) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Catcha Theta Holdings Sdn Bhd.

Nilai keseluruhan urus niaga dianggarkan sekitar RM35 juta secara tunai, yang akan dibayar dalam empat peringkat iaitu RM5.9 juta, RM6.6 juta, RM11.2 juta dan RM11.3 juta, tertakluk kepada pelarasan yang dipersetujui dalam perjanjian jual beli saham bersyarat.

Menariknya, bayaran bagi tiga peringkat akhir dikaitkan dengan pencapaian keuntungan selepas cukai minimum masing-masing RM3.5 juta, RM4 juta dan RM5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, 2025 dan 2026. Pada 2023, Theta dan anak syarikatnya mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM3.4 juta.

Theta merupakan penyedia utama perisian pemprosesan pinjaman (loan origination software) kepada institusi kewangan menerusi produk unggulnya, ORIGINS. Perisian ini menawarkan keupayaan automasi penuh termasuk penilaian kredit, pemprosesan pelbagai produk pinjaman serta pematuhan peraturan, merangkumi segmen runcit, PKS dan komersial.

Kumpulan Theta telah menjalin hubungan jangka panjang dengan beberapa institusi kewangan terbesar di Asia Tenggara selama lebih dua dekad. Ia termasuk sebuah bank utama di Singapura, satu bank terbesar di Malaysia serta bank Pan-Asia berpangkalan di Taiwan, dan telah memproses berjuta-juta permohonan pinjaman di lebih 10 negara termasuk Singapura, Malaysia, Filipina, Indonesia, Taiwan, India, Hong Kong, Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Pengerusi Catcha Digital, Patrick Grove berkata, “Pengambilalihan ini merupakan langkah strategik ke dalam sektor perisian perbankan dan sejajar dengan visi kami untuk membina kumpulan teknologi digital yang menyeluruh.”

“Apa yang paling menarik perhatian kami tentang Kumpulan Theta ialah kepakaran mendalam mereka dalam sistem pemprosesan pinjaman, dibuktikan melalui hubungan jangka panjang dengan institusi kewangan utama di pelbagai pasaran,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Theta, Leong Kwok Hung menyatakan, “Kerjasama bersama Catcha Digital mengukuhkan keupayaan kami untuk merebut peluang besar dalam sektor perisian perbankan.”

Tambahnya, pasaran kini menuntut penyelesaian lebih canggih yang berasaskan kecerdasan buatan dan teknologi awan, dan kerjasama ini akan membantu mempercepatkan fasa pertumbuhan seterusnya.

Langkah ini turut sejajar dengan strategi jangka panjang Catcha Digital untuk mempelbagaikan perniagaan kepada penyelesaian teknologi maklumat dan menjadi peneraju kumpulan digital di ASEAN, yang ekonominya dianggarkan bernilai RM1 trilion menurut laporan SEA e-Conomy 2024 oleh Google, Temasek dan Bain & Company.

Dalam tempoh lima bulan lalu, Catcha Digital telah mengumumkan enam pengambilalihan strategik, termasuk syarikat seperti Digital Symphony, Framemotion Studio, Drive 2 Digital, Tastefully Malaysia dan Nexible Solutions, dengan jumlah keuntungan disasarkan sekitar RM21.1 juta daripada kesemua syarikat terbabit.

Related Posts