Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tindakan mencampurkan beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI) bukanlah satu amalan baharu, sebaliknya telah dilakukan sejak tahun 1970-an selepas penubuhan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN).
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, amalan ini bertujuan memenuhi cita rasa pengguna serta menyediakan variasi jenama di pasaran.
Beliau menjelaskan perkara itu dalam jawapan bertulis di Parlimen susulan pertanyaan wakil Sungai Besar, Datuk Muslimin Yahaya.
Menurutnya, kajian oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC) sejak awal 2024 merumuskan bahawa pencampuran beras ini berlaku bagi menyesuaikan permintaan pasaran tempatan.
Bagaimanapun, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengakui tiada kawalan khusus terhadap aktiviti ini sejak lima dekad lalu. Sehubungan itu, kerajaan telah mengarahkan kementerian berkenaan untuk memperhalusi kaedah dan mekanisme terbaik bagi mengawal percampuran BPT dan BPI melalui perundangan.
Ketika ini, tiada peruntukan undang-undang yang jelas di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 untuk mendakwa kesalahan pencampuran beras di mahkamah. Oleh itu, satu simulasi cadangan penetapan harga bagi kategori beras campuran sedang dirangka untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
Selain itu, siasatan berhubung kekurangan BPT di pasaran mendapati isu ini berpunca daripada struktur harga belian padi, kos pengeluaran beras, harga siling BPT, serta ketiadaan larangan khusus terhadap pencampuran beras. Dalam usaha menyelesaikan masalah ini, kerajaan telah memulakan reformasi sektor padi dan beras sejak Oktober 2024 secara berfasa.
Antara langkah yang diambil termasuk penstrukturan semula tadbir urus sektor ini, kajian terhadap Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, serta penubuhan Agensi Regulatori dan Penguatkuasaan Agromakanan Malaysia (MAREA). Selain itu, peranan MARDI turut diperkasakan dalam mengenal pasti varieti beras menggunakan teknologi DNA.
Dalam memastikan harga BPT kekal stabil untuk rakyat, kerajaan turut menyediakan subsidi sekitar RM150 juta bagi mengekalkan harga beras tempatan pada kadar RM2.60 sekilogram.
Sumber: Malaysia Gazette, Berita Harian








