Cadangan kerja empat hari setengah di Johor sedang diteliti | The Reporter

Cadangan kerja empat hari setengah di Johor sedang diteliti

Johor pertimbang cadangan 4 hari setengah bekerja
Sumber gambar: The Star

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Isu pelaksanaan waktu bekerja empat hari seminggu telah lama diperkatakan, namun sehingga kini, masih banyak cabaran yang perlu diselesaikan sebelum ia dapat direalisasikan.

Di Johor, kerajaan negeri kini sedang mengkaji cadangan perubahan waktu bekerja kepada empat hari setengah untuk sektor awam.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menjelaskan langkah ini berkait rapat dengan perubahan cuti hujung minggu di negeri itu yang akan kembali kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.

“Bagi tujuan tersebut, kerajaan negeri sedang giat melakukan pelbagai penambahbaikan untuk meningkatkan produktiviti serta memperkemaskan sistem penyampaian perkhidmatan. Antara inisiatif yang diambil ialah memperkasa perkhidmatan digital melalui penambahan urusan yang boleh dilakukan secara online,” katanya.

Onn Hafiz turut menegaskan waktu operasi perkhidmatan kaunter akan dipanjangkan, termasuk beroperasi pada waktu rehat antara jam 1 tengah hari hingga 2 petang, bagi memastikan perkhidmatan terus berjalan dengan lancar.

“Selain itu, waktu operasi perkhidmatan kaunter di semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, serta pihak berkuasa tempatan (PBT) akan diseragamkan,” tambahnya.

Beliau berkata, sekiranya semua usaha penambahbaikan ini berjalan lancar, kerajaan negeri akan mempertimbangkan pelaksanaan waktu bekerja empat hari setengah tanpa mengurangkan jumlah keseluruhan jam bekerja sektor awam. Namun, perkara ini masih tertakluk kepada perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, dan restu Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Sebagai rujukan, Onn Hafiz turut menyebut contoh pelaksanaan serupa di Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang sejak 1 Januari 2022, telah memperkenalkan waktu bekerja empat hari setengah seminggu.

Di UAE, waktu kerja bermula 7.30 pagi hingga 3.30 petang dari Isnin hingga Khamis, dan 7.30 pagi hingga 12 tengah hari pada Jumaat, dengan fleksibiliti untuk bekerja dari rumah pada hari tersebut.

Langkah ini, jika berjaya dilaksanakan di Johor, dijangka dapat meningkatkan keseimbangan kerja dan kehidupan sambil mengekalkan tahap produktiviti sektor awam.

Sumber: Harian Metro

Related Posts