Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Selepas melalui kekalahan BN pada 2018 dan keputusan kurang memberangsangkan dalam PRN Sabah 2020, Bung Moktar Radin kini mengemukakan naratif lebih tegas tentang masa depan politiknya. Beliau mengakui episod lalu sangat mencabar tetapi pengalaman itu membentuk semula ketahanan beliau sebagai pemimpin UMNO dan BN Sabah.
Ketika ramai meninggalkan parti pasca PRU14, Bung tetap berpegang pada keyakinannya bahawa kapal belum tenggelam dan ruang kebangkitan masih wujud jika dilakukan melalui pembaharuan menyeluruh.
Sudah tiba masanya diberi peluang
Dalam wawancara terbaharu, mesej paling ketara ialah isyarat bahawa sudah tiba masanya untuk beliau pula diberi peluang menerajui kerajaan negeri bagi mengubah masa depan Sabah.
Keyakinan itu berpunca daripada perjalanan politiknya selama enam penggal di Kinabatangan serta pengalaman luas mengurus keperluan rakyat luar bandar yang menurutnya memberi asas kukuh untuk memikul tanggungjawab lebih besar.
Baca juga:
- Sudah tiba masa diberi peluang pimpin Sabah – Bung Moktar beri isyarat
- MIC tangguh keluar BN, akar umbi desak perubahan
- ‘Kita just fed-up’ – MIC umum keluar dari Barisan Nasional
PRN kali ini turut menjadi platform pembaharuan BN Sabah. Parti menampilkan 81 peratus calon muka baharu termasuk ramai profesional dan anak muda. Langkah itu mencerminkan kesediaan BN menyesuaikan diri dengan tuntutan generasi baharu serta memperkemas strategi selepas dua pilihan raya yang sukar.
Berbeza dengan PRN 2020 yang berlaku secara mengejut, persediaan untuk PRN ke-17 dibuat dengan lebih rapi dan teratur bermula dari peringkat akar umbi hinggalah kepada strategi kempen.
Sasar selesai masalah asas dalam tempoh tiga tahun
Sekiranya diberi kepercayaan, Bung menyasarkan tiga tahun pertama pentadbirannya untuk menyelesaikan isu asas yang paling mendesak. Masalah bekalan air akan dipulihkan secara berperingkat, kapasiti elektrik Sabah dirancang untuk ditingkatkan daripada 3,000 megawatt kepada 5,000 megawatt dan ruang baharu untuk pelaburan akan dibuka bagi memacu pertumbuhan ekonomi.
Beliau berpendapat penyelesaian isu asas merupakan langkah minimum untuk mengurangkan kemiskinan dan mempercepat pembangunan di seluruh negeri.
Yakin mampu cipta kejutan
Dengan slogan Kita Bikin Balik Sabah, Bung optimis BN mampu mencipta kejutan. Hubungan lebih stabil antara negeri dan Persekutuan serta strategi kempen yang lebih kemas menjadi asas keyakinan itu.
Beliau menegaskan BN mungkin dilihat sebagai underdog tetapi kekuatan parti meningkat setiap hari dan parti kini bersedia menampilkan perubahan yang lebih bermakna.
Sumber: Bernama









