Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sesebuah lirik lagu dicipta mempunyai makna yang cukup istimewa. Ada yang mencipta lirik lagu berkenaan menerusi pengalaman hidup dan kisah percintaan.
Jika sebelum ini kita fikirkan lirik lagu yang bertajuk Alasanmu nyanyian kumpulan Exists yang cukup terkenal satu ketika dahulu adalah lagu yang merujuk kepada kekecewaan dalam percintaan.
Tapi, tidak disangka lagu yang kembali tular itu dikatakan sebenarnya menggambarkan perasaan individu yang tertekan dengan suasana pekerjaan dan memilih untuk meletakkan jawatan.
Tidak menolak tanggapan itu, pemain bass kumpulan Exists, Musa Radhi mengatakan situasi tersebut mungkin dialami oleh penulis lirik lagu tersebut iaitu Lukhman S di tempat kerjanya di sebuah syarikat rakaman.
“Sebenarnya Abang Luqman S iaitu penulis lirik lagu ini merupakan seseorang yang sangat sensitif. Kalau nak bercakap dengan dia, kena ada budi bahasa dan sopan.
“Jadi pada pandangan saya, dia adalah orang yang sangat mementingkan budi bahasa. Kalau awak rasa budi bahasa awak tinggi, dia lagi tinggi,” katanya.
Katanya, berkemungkinan ada sedikit perbalahan dalam syarikat berkenaan menyebabkan Lukhman S meletakkan jawatan.
“Saya tak tahu sebelum itu dia (Lukhman S) bekerja dekat mana. Namun ketika itu, dia baru sahaja bertugas sebagai pegawai perhubungan awam di sebuah syarikat rakaman.
“Mungkin kerana Abang Lukhman S ini orang baharu di dalam pasukan perhubungan awam tersebut, jadi adalah sedikit pertelagahan atau perbalahan dengan pegawai yang lebih senior.
“Saya tak tahu bagaimana penciptaan lagu ini diserahkan kepada Lukhman S. Tetapi tidak lama selepas lagu itu siap, saya tengok dia sudah tiada dalam syarikat rakaman tersebut,” katanya.
Sumber: Borak Selebriti Sinar








