Persoalan berhubung insiden yang melibatkan penyanyi Shila Amzah akhirnya terjawab apabila beliau mengesahkan bahawa penyanyi lagenda yang dimaksudkan adalah Amy Search.
Pengesahan itu sekaligus menamatkan spekulasi dan dakwaan terhadap beberapa nama besar industri hiburan sebelum ini, termasuk Datuk Awie dan Ella.
Berkongsi lanjut mengenai kejadian yang berlaku sekitar jam 11.00 pagi, Shila berkata insiden itu terjadi sejurus selepas beliau selesai menjalani latihan konsert. Menurutnya, ketika menoleh ke belakang, individu tersebut tiba-tiba mengeluarkan kata-kata yang sangat kuat sehingga menimbulkan tekanan emosi.
“Saya sangat terkejut dan menggeletar. Tiada serangan fizikal, tetapi saya ingin tegaskan bahawa ayat yang digunakan membuatkan saya berasa terancam dan tidak selamat, lebih-lebih lagi kerana kami masih ada beberapa persembahan bersama,” jelasnya.
Baca juga:
- K!DZ Pop Con Asia 2026 gabungkan dunia budaya pop, pembelajaran untuk kanak-kanak
- ‘Kuala Lumpur rumah kita’ – Hannah Yeoh kecewa Dataran Merdeka dipenuhi sampah
- Prihatin nasib Orang Asli Kg Sungai Cot, Tunku Azizah tawar penempatan di tanah baginda
Shila berkata laporan polis telah dibuat demi keselamatan dirinya dan juga kesihatan mentalnya.
“Saya harap perkara ini tidak akan berlaku kepada diri saya lagi, mahupun kepada orang lain,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Shila turut meminta agar nama Datuk Awie tidak lagi dikaitkan dengan insiden berkenaan.
“Bukan Ella dan bukan Awie, tetapi bapa kepada Nabila Huda. Saya sahkan memang bapa kepada Nabila yang terlibat dalam insiden itu,” katanya.
Terdahulu, Shila mengejutkan ramai pihak apabila mendedahkan dirinya telah diserang secara verbal oleh seorang penyanyi lagenda, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi di media sosial.











