Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut dirempuh oleh sebuah van sekolah di hadapan kediamannya di Jalan Suria, Bandar Seri Alam, semalam.
Lapor Harian Metro, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11.35 pagi ketika pemandu van, wanita berusia 50 tahun, menurunkan mangsa dan abangnya yang berusia enam tahun, yang juga merupakan murid pra-sekolah.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pemandu van meneruskan perjalanan selepas melihat abang mangsa melepasi kenderaan itu melalui bahagian belakang van.
Namun, pemandu yang menganggap kanak-kanak perempuan itu turut mengekori abangnya, mula bergerak sebelum merempuh kanak-kanak tersebut yang berada di hadapan van.
“Pemandu kemudian turun untuk melihat mangsa dan memaklumkan kepada ibu mangsa sebelum membawanya ke Klinik Kesihatan Masai untuk rawatan,” katanya.
Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Pemandu van sekolah ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang berkaitan dengan kematian akibat memandu secara melulu dan merbahaya.








