Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
UTAH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun di Utah, secara tidak sengaja menembak dirinya dengan sepucuk pistol yang ditemui di rumahnya.
Ketika bermain di bilik tidur ibu bapanya pada 22 Ogos, Brooks Thomas Wilson menemui sepucuk pistol 9mm yang berisi peluru. Pistol tersebut ‘meletup’ ketika mangsa mengangkatnya yang menyebabkan mangsa luka di bahagian kepala dan meninggal dunia.
Ibu bapa angsa, Bryan dan Kristin Wilson yang terdengar bunyi tembakan itu terus bergegas ke bilik dan memberi bantuan awal. Pasukan perubatan yang tiba di lokasi cuba memberi bantuan pernafasan (CPR), tetapi tidak berjaya dan Brooks disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Leftenan Jabatan Polis Santaquin, Mike Wall berkata, siasatan mendapati tembakan itu tidak disengajakan dan tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian tersebut.
Keluarga mangsa mengakui apa yang berlaku kepada Brooks adalah tragedi yang sangat sukar diterima. Kejadian itu turut memberi pengajaran kepada mereka dan kesal dengan kecuaian yang berlaku.
“Kami berharap kejadian ini menjadi peringatan kepada orang lain untuk mengambil langkah berjaga-jaga memastikan keselamatan anak-anak.
Menurut Pusat Undang-Undang Giffords, undang-undang Utah tidak mengkehendaki pendakwaan terhadap orang yang meninggalkan senjata yang tidak diawasi dan boleh diakses oleh kanak-kanak, dan juga tidak mengkehendaki senjata-senjata itu diasingkan dengan selamat. – Agensi








