Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemui meninggal dunia dalam keadaan tergantung di sebuah pondok berhampiran pokok cengkih di Kabupaten Ngada, Nusa Tenggara Timur, Indonesia, pada Khamis lalu.
Mangsa yang merupakan murid Tahun Empat di sebuah sekolah rendah tempatan, dipercayai telah meninggalkan sepucuk surat tulisan tangan untuk ibunya sebelum kejadian berlaku. Penemuan surat tersebut menimbulkan persoalan mengenai tekanan hidup yang dihadapi mangsa sejak kecil.
Polis sahkan surat milik mangsa
Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Daerah Ngada, Inspektor Dua Benediktus E Pissort, memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati kematian mangsa dipercayai berpunca daripada perbuatan membunuh diri.
Menurut beliau, surat yang ditemui di lokasi kejadian dipercayai kuat ditulis oleh mangsa berdasarkan perbandingan tulisan tangan dalam buku sekolah miliknya.

“Hasil pemeriksaan menunjukkan terdapat persamaan yang jelas antara tulisan dalam surat dan buku latihan mangsa,” katanya.
Bagaimanapun, pihak polis masih meneruskan siasatan lanjut bagi memastikan tiada unsur lain terlibat dalam kejadian tersebut.
Baca juga:
- Waytha Moorthy beri 48 jam kepada Anwar jelaskan dakwaan isu perkauman
- Anak Malaysia berjaya jual AI.com RM276 juta kepada CEO Crypto
- Bukan sekat suara, polis jelaskan sebab tahan peserta GARAH
Kehidupan sukar, kurang kasih sayang
Ibu mangsa, berusia 47 tahun, dalam keterangannya memaklumkan bahawa anaknya bermalam di rumahnya sehari sebelum kejadian. Keesokan pagi, sekitar jam 6 pagi, mangsa dihantar ke pondok neneknya menggunakan perkhidmatan motosikal.
Beliau turut mengakui keadaan ekonomi keluarga yang serba kekurangan menyukarkan kehidupan mereka seharian.
“Saya sempat menasihatinya supaya rajin ke sekolah. Tetapi kami memang hidup dalam serba kekurangan,” katanya.
Seorang penduduk tempatan, Lipus Djio, turut mendedahkan bahawa keluarga mangsa menghadapi pelbagai cabaran sejak sekian lama, menyebabkan mangsa memilih tinggal bersama neneknya yang sudah berusia sekitar 80 tahun.
Menurutnya, mangsa kurang mendapat perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa. Bapanya meninggal dunia sebelum mangsa dilahirkan, manakala ibunya terpaksa menanggung lima orang anak seorang diri.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa meminta wang daripada ibunya untuk membeli buku dan alat tulis. Namun permintaan itu tidak dapat dipenuhi kerana kekangan kewangan.
Perkara tersebut dipercayai memberi kesan emosi mendalam kepada mangsa, sehingga membawa kepada tindakan tragis itu.
Sumber: Kompas








