Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seekor buaya dilaporkan mati selepas dilanggar sebuah kereta di Lebuhraya Penanjong-Tutong, Brunei, pagi tadi. Insiden berlaku berdekatan Jambatan Penanjong ketika haiwan itu cuba menyeberangi jalan raya.
Menurut laporan daripada Facebook Brunei FM, kenderaan yang terlibat adalah sebuah BYD Sealion 6 Hybrid, yang mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan. Tayar kiri kenderaan itu juga tercabut akibat pelanggaran tersebut, namun pemandunya dilaporkan selamat tanpa kecederaan.
Kejadian ini mendapat perhatian ramai apabila gambar dan video insiden tersebut dikongsi di media sosial. Rata-rata netizen meluahkan rasa simpati terhadap nasib malang buaya tersebut dan pemilik kenderaan yang terpaksa menanggung kerosakan.
“Pemandu perlu lebih berhati-hati di kawasan seperti ini, apatah lagi jika ia laluan haiwan liar,” kata seorang pengguna media sosial.
Ada juga yang menyeru pihak berkuasa untuk memasang papan tanda amaran di kawasan tersebut bagi meningkatkan keselamatan.