Seorang wanita berkongsi rasa terkejut apabila bil rawatan ibunya di Hospital Besar Sarikei selama enam hari hanya berjumlah RM202, walaupun termasuk pembedahan dan dua kali perkhidmatan ambulans.
Lily Law pada awalnya berasa bimbang apabila ibunya dipindahkan ke hospital kerajaan di Sarikei. Antara kebimbangannya termasuk kekurangan doktor, katil yang terhad, dan kemungkinan pembedahan ditangguhkan akibat bilik bedah yang penuh. Namun, segala keraguan itu hilang selepas melihat sendiri kemudahan dan perkhidmatan hospital tersebut.
“Saya tak sangka hospital ni besar dan lengkap. Doktor ramai, jadi tiada masalah nak mendapatkan rawatan,” tulisnya di Facebook.
- Tabung untuk Adrian Adam dihentikan, Pak Nil umum jumlah kutipan
- Lelaki warga emas cedera dipercayai digigit buaya ketika menjala udang
- Jemaah haji wanita Malaysia meninggal dunia di Makkah
- Insiden Platform Sepat: PETRONAS siasat punca kejadian
- Kerajaan rancang wujudkan surau Jumaat selesa di Bukit Bintang
Lebih mengejutkan baginya, hospital itu mempunyai ramai petugas perubatan berbangsa Cina, sekali gus memudahkan urusan komunikasi. Pengalaman itu juga mengubah tanggapan lamanya bahawa hospital kerajaan hanya terdiri daripada kakitangan Melayu.
Lily turut memuji sikap doktor dan jururawat yang sangat profesional, sabar dan penuh perhatian dalam menjaga pesakit. Malah makanan yang disediakan juga seimbang dan berkhasiat.
Namun, apa yang paling mengejutkannya ialah jumlah bil hospital. Sepanjang enam hari menerima rawatan termasuk pemeriksaan harian oleh beberapa pakar, ubat-ubatan, pembedahan dan dua kali perkhidmatan ambulans, jumlah yang dikenakan hanyalah RM202 — tidak termasuk kos komponen besi yang digunakan untuk sambungan tulang.
“Saya sangka sekurang-kurangnya perlu bayar RM700 hingga RM1,000. Bila jururawat cakap cuma RM202, saya terkejut betul!” katanya.
Menurutnya, jika rawatan yang sama dilakukan di hospital swasta, kosnya boleh mencecah puluhan ribu ringgit.
“Sekarang saya faham kenapa ramai yang kata sistem kesihatan Malaysia satu kelebihan yang negara lain pun susah nak capai,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada semua petugas di Hospital Besar Sarikei yang telah membantu ibunya pulih dengan baik.








