Amalan memberi makan kepada burung merpati mungkin kelihatan tidak berbahaya, namun tidak ramai yang menyedari bahawa ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan manusia.
Seorang pengguna TikTok, Mohana, baru-baru ini berkongsi pengalaman peribadinya tentang kesan buruk amalan ini terhadap ibunya.
Menurut Mohana, ibunya yang sering memberi makan burung merpati di balkoni rumahnya kini mengalami masalah paru-paru serius.
Berdasarkan penjelasan doktor, burung merpati mempunyai sejenis protein yang tersembunyi di celah bulunya. Apabila burung ini terbang di kawasan balkoni atau tempat makanan diberikan, protein ini akan jatuh ke lantai dalam zarah halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan boleh masuk ke dalam paru-paru manusia.
Protein ini, kata Mohana, boleh menyebabkan parut pada saluran pernafasan, yang akhirnya membawa kepada penyakit seperti asma, kerosakan paru-paru, dan kegagalan fungsi paru-paru.
Oleh itu, beliau menegaskan kepentingan menghentikan amalan memberi makan kepada burung, bukan sahaja untuk kesihatan diri tetapi juga bagi mengelakkan penyebaran penyakit.
Mohana menyeru semua pihak untuk menghentikan amalan ini demi kebaikan bersama.
“Katakan tidak kepada memberi makan kepada burung,” pesannya sambil mengingatkan bahawa burung perlu mencari makanan secara semula jadi untuk kelangsungan hidup mereka.
Sumber: TikTok Mohana








