‘Berhenti beri diskaun saman trafik kepada pengguna jalan raya’ - Pakar - The Reporter

‘Berhenti beri diskaun saman trafik kepada pengguna jalan raya’ – Pakar

Dua pakar keselamatan jalan raya mendesak kerajaan berhenti memberi diskaun untuk saman lalu lintas kerana langkah itu hanya akan membuatkan pengguna lebih kerap mengabaikan peraturan lalu lintas.

Law Teik Hua daripada Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, budaya menawarkan diskaun untuk saman lalu lintas akan mengurangkan kesan penguatkuasaan undang-undang.

“Tidak ada orang yang akan menghormati undang-undang jika mereka tahu di kemudian hari kerajaan akan memberikan diskaun saman,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today (FMT) pada 26 April lalu.

Jelas Law, kerajaan memandang saman sebagai cara untuk memperoleh pendapatan dan bukannya sebagai hukuman bagi mereka yang melanggar undang-undang lalu lintas. Sedangkan saman seharusnya dikenakan agar dapat menghalang pengguna jalan raya melanggar undang-undang lalu lintas.

Selain itu katanya, sistem demerit yang sedia ada juga harus ditegakkan dengan lebih meluas untuk mencegah kesalahan lalu lintas.

“Kesakitan’ apabila lesen memandu digantung atau dibatalkan akan berfungsi sebagai pencegah yang baik terhadap kesalahan lalu lintas,” katanya.

Sementara itu, Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud dari Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) berkata, negara-negara maju tidak menawarkan diskaun saman lalu lintas.

“Di UK, orang mematuhi peraturan lalu lintas kerana mereka tahu bahawa, walaupun mereka mungkin dapat membayar saman, mereka tidak akan dapat lari daripada mata demerit.

“Bahkan orang kaya di sana juga tidak mahu melakukan kesalahan lalu lintas kerana mereka tahu lesen memandu mereka boleh digantung atau dibatalkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

18 April lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan diskaun khas satu bulan untuk saman lalu lintas yang dikeluarkan oleh polis dengan kadar tetap RM50 untuk kesalahan lalu lintas yang berlaku sebelum 2023.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) secara berlaku menawarkan diskaun saman lalu lintas, kebiasaannya menjelang akhir tahun. Pada bulan Mac, PDRM menawarkan diskaun 60 peratus untuk semua saman lalu lintas dari 20 hingga 31 Mac bersempena dengan Hari Polis.

JPJ juga menawarkan diskaun 80 peratus untuk saman selama dua minggu pada Disember 2021.

Sumber: Free Malaysia Today

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!