'Berani mereka kata nak ambil alih Pulau Pinang?' - Teresa Kok | The Reporter

‘Berani mereka kata nak ambil alih Pulau Pinang?’ – Teresa Kok

Teresa Kok membahaskan isu pelancongan Langkawi di Dewan Rakyat sambil mengkritik kerajaan PAS Kedah.
Gambar: Tangkap layar YouTube Persidangan Dewan Rakyat.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, mengkritik kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS yang didakwanya gagal membangunkan Pulau Langkawi, sebaliknya bercita-cita mahu mengambil alih Pulau Pinang.

Beliau berkata, Langkawi yang merupakan pulau indah dan kaya dengan potensi pelancongan sepatutnya boleh dimajukan dengan lebih baik sekiranya diurus oleh kerajaan Persekutuan.

“Satu pulau yang begitu indah pun mereka gagal bangunkan. Bagaimana mereka berani berkata mahu ambil alih Pulau Pinang?” katanya ketika berucap di Dewan Rakyat.

Teresa mencadangkan agar kerajaan Pusat mempertimbangkan untuk mengambil alih pentadbiran Pulau Langkawi dan menjadikannya wilayah persekutuan atau zon antarabangsa bagi membolehkan pembangunan pelancongan dijalankan secara lebih terancang.

Langkawi merosot selepas pandemik

Menurut Teresa, Langkawi yang suatu ketika dahulu terkenal sebagai destinasi pelancongan utama negara kini berdepan kemerosotan jumlah pelancong yang ketara sejak pandemik COVID-19 dan masih belum pulih ke tahap sebelum pandemik.

Beliau berkata, banyak perniagaan kecil di pulau itu terpaksa gulung tikar manakala kadar pengangguran semakin meningkat.

“Saingan hebat daripada Thailand turut menjadi cabaran utama. Berdasarkan statistik Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand, sebanyak 24 juta pelancong asing telah melawat negara itu dari Januari hingga Oktober tahun ini, termasuk 3.53 juta pelancong dari Malaysia,” katanya.

Baca juga:
Cadang jenama baharu ‘Green Langkawi’

Teresa turut mencadangkan agar kerajaan menjenamakan semula Langkawi sebagai “Green Langkawi” bagi memanfaatkan keindahan semula jadi pulau itu dengan menonjolkan imej pantai bersih dan laut jernih.

Beliau juga mencadangkan Gunung Raya Resort dibangunkan sebagai pusat pelancongan kesihatan (Wellness Resort Centre) memandangkan Malaysia mempunyai kelebihan dalam sektor pelancongan perubatan dari segi kualiti dan kos.

Selain itu, potensi geotourism perlu diterokai dengan lebih serius kerana Langkawi telah diiktiraf sebagai UNESCO Global Geopark sejak 2007, dengan tarikan utama seperti Kilim Geoforest Park, Machinchang Cambrian Geoforest Park, dan Dayang Bunting Marble Geoforest Park.

Kritik dasar konservatif kerajaan Kedah

Beliau turut menyatakan bahawa dasar konservatif kerajaan negeri Kedah turut menjejaskan kedatangan pelancong asing.

“Ramai pelancong asing lebih memilih untuk bercuti di pulau-pulau di Thailand berbanding Langkawi,” katanya.

Teresa berharap kerajaan Pusat dapat menyusun semula strategi bagi mengembalikan Pulau Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama negara dan menarik lebih ramai pelancong asing ke Malaysia.

Related Posts