Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan teguran berhubung kesilapan sebuah akhbar tempatan yang menyiarkan imej Jalur Gemilang tanpa bulan sabit, dan menegaskan bahawa bendera adalah lambang kedaulatan dan identiti negara.
Menurut titah baginda, bendera bukan sekadar kain bercorak dan berwarna-warni, malah mewakili perjuangan, sejarah, makna kemerdekaan serta semangat rakyat jelata.
“Kita sebagai rakyat mengibarkan bendera dengan rasa megah dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa,” titah Seri Paduka Baginda pada hari ini.
Baginda turut menegaskan bahawa kesilapan memaparkan Jalur Gemilang yang tidak lengkap seperti yang berlaku dalam muka hadapan sebuah akhbar berbahasa Cina baru-baru ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
“Kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti disiarkan dalam muka hadapan di sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima,” titah Seri Paduka Baginda.
Seri Paduka Baginda bertitah agar pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan lebih peka dan bertanggungjawab dalam menyemak setiap bahan siaran sebelum diterbitkan kepada umum.
Terdahulu, sebuah akhbar tempatan berbahasa cina menyiarkan bendera Jalur Gemilang tidak lengkap iaitu tanpa bulan sabit yang telah mengundang reaksi ramai. Sedar akan kesilapan itu, pihak penerbitan telah membuat permohonan maaf.
Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee juga telah bersuara mengenai isu ini dan meminta pihak berwajib mengambil tindakan tegas.








