Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang pelajar tingkatan lima dan seorang bayi perempuan berusia dua tahun dilaporkan meninggal dunia akibat keracunan makanan.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Arrifin Mohamad Nasir berkata, kedua-dua mangsa dipercayai telah menjamah bihun dan telur goreng yang tercemar.
Dalam kes pertama, pelajar berusia 17 tahun tersebut dikatakan telah makan makanan yang dibawa pulang oleh ibunya selepas menghadiri satu program di sebuah sekolah agama di Sungai Cincin, Gombak, Jumaat lalu.
Difahamkan makanan itu disediakan pihak luar yang ditempah oleh penganjur program berkenaan.
Selepas makan, mangsa dan ibu bapanya mengalami cirit-birit. Dua hari kemudian, bapa mangsa menyedari anak lelakinya itu tidak sedarkan diri dan bertindak menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia selepas pemeriksaan dilakukan penolong pegawai perubatan di Hospital Kuala Lumpur.
Dalam kes kedua, seorang bayi perempuan juga telah makan makanan lebihan yang dibawa bapanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah yang sama.
Dua hari kemudian, ibu mangsa mendapati anaknya mengalami deman selain muntah dan cirit-birit. Lalu dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan. Namun, mangsa meninggal dunia ketika sedang mendapat rawatan.
Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Sumber: Astro Awani