Pembayaran akhir Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi tahun ini akan diagihkan secara berperingkat kepada 8.7 juta penerima bermula Khamis, melibatkan jumlah keseluruhan RM3.4 bilion.
Selain itu, kerajaan akan menyalurkan bantuan tunai tambahan one-off Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 8 juta penerima STR yang bukan dari kumpulan miskin dan miskin tegar bermula Isnin depan.
Sebanyak 700,000 penerima STR dari kumpulan miskin dan miskin tegar akan terus menerima bantuan SARA sepanjang tahun ini. Dengan tambahan bantuan tunai tersebut, isi rumah berkelayakan akan menerima sehingga RM1,000 dalam pembayaran akhir STR bagi tahun ini, seiring dengan komitmen Kerajaan Madani untuk kesejahteraan rakyat.
Kerajaan telah menyalurkan hampir RM10 bilion kepada penerima STR dan SARA sepanjang tahun ini, berbanding RM8 bilion pada tahun lalu. Selain itu, kerajaan juga mengambil pendekatan membuka pendaftaran STR 2025 sepanjang tahun bagi memberi peluang lebih ramai rakyat mendapat manfaat serta membolehkan penerima sedia ada mengemaskini maklumat sekiranya terdapat perubahan.
Bagi mengurangkan golongan yang tercicir, data penerima STR sedia ada akan dimasukkan ke pangkalan data kerajaan secara automatik. Data daripada beberapa agensi lain turut akan disemak bagi menilai kelayakan STR 2025 mengikut syarat yang ditetapkan.
Pemohon STR boleh merujuk soalan lazim di portal rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Orang ramai turut dinasihati agar berhati-hati dengan pautan tidak sahih daripada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan. Sebagai perlindungan, pihak kementerian tidak akan menghantar mesej melalui SMS atau WhatsApp untuk meminta maklumat peribadi.
Sumber: Sinar Harian








