Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pemergian Muhammad Ikmal, putera sulung kesayangan keluarga yang lebih mesra disapa Along, menyentap seluruh jiwa ahli keluarga, khususnya si bapa yang selama ini menyimpan impian melihat anaknya ‘terbang tinggi’. Namun takdir Allah lebih berkuasa.
Menerusi hantaran Mohd Azizuddin di Facebook, katanya, segala yang berlaku begitu pantas, seumpama cahaya kilat di tengah malam. Bermula dengan aktiviti pendakian bukit pada hari Ahad bersama rakan-rakan, Along kelihatan ceria dan bertenaga. Namun beberapa hari kemudian, kesihatannya mula merosot tanpa diketahui keluarga.
Baca juga:
- ‘Jangan paksa kerajaan iktiraf UEC’ – Tok Mat tegaskan soal identiti kebangsaan
- Imigresen serbu restoran popular, 101 pekerja asing ditahan kerana kerja tanpa permit
- Lelaki maut dalam kebakaran unit kondominium di Mont Kiara
Hari Selasa, Along dikatakan mengalami muntah dan cirit-birit sebelum mendapatkan rawatan di klinik swasta. Doktor menganggapnya sebagai sakit biasa. Tanpa dimaklumkan kepada keluarga, Along cuba melawan sakit seperti kebiasaannya dengan bersenam untuk keluarkan peluh. Hari demi hari, sakitnya makin teruk.
Khamis, dia kembali ke klinik dan diberikan surat rujukan ke Hospital Besar Melaka. Barulah keluarganya dimaklumkan. Ayahnya terus menghubungi sahabat lama, Pak Din, yang sanggup membatalkan rancangan balik kampung untuk membantu. Bersama keluarga, mereka segera bergegas ke hospital.
Dalam perjalanan, hati si ayah tidak tenang. Sepanjang malam, air mata mengalir tiada henti. Di hospital, Along sempat berbual dengan ibu dan adik-adiknya.
“Along okay mama… Along kuat abah… mama, jangan risau,” kata Along.
Namun, malam Jumaat yang hening menjadi saksi pemergian Along. Panggilan terakhir daripada hospital disambut dengan penuh reda.
“Keluarga tiba di hospital jam 1.15 pagi. Jenazah Along disambut tenang, wajahnya tersenyum, namun darah mengalir dari hidung. Kata petugas, ia jarang berlaku untuk kes jangkitan leptospirosis (kencing tikus),” tulisnya.
“Punca jangkitan dari tin minuman yang tidak dibasuh dan diminum terus ketika pendakian. Hanya Along yang dijangkiti, daripada lima orang yang turut serta,” katanya.
Tambahnya, dalam hanya tempoh empat hari, serangan bakteria merosakkan buah pinggang, paru-paru, saraf dan jantung.
Katanya lagi, pihak hospital meminta izin untuk menjalankan bedah siasat, namun keluaga menolak walaupun insurans boleh dituntut.
“Kami tak perlukan semua itu… Kami reda,” jelasnya.








