Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
“Saya maafkan pemandu bas, apa yang berlaku ini takdir. Tiada dendam terhadap dia,” itu luahan Halim Sidik, 58, bapa kepada Muhammad Adib Hazim, 21, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak awal minggu ini.
Bagi Halim, apa yang berlaku sudah ditentukan oleh Allah dan keluarganya reda dengan kehilangan itu, meskipun pelbagai cerita tersebar tentang pemandu bas terbabit.
“ALLAH sayang Adib. Apa yang berlaku, kami reda dan tiada dendam terhadap pemandu walaupun banyak cerita yang dihebohkan berkenaan dirinya.
“Anak kami pergi dengan baik. Saya fikir pemandu pun ada keluarga, dia juga tidak berniat untuk membawa laju. Soal maaf, biarlah dia pohon kepada Tuhan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Permintaan terakhir yang tidak sempat ditunaikan
Mengimbas kembali pertemuan terakhir dengan anaknya sehari sebelum kejadian, Halim berkongsi rasa terkilan kerana tidak sempat memenuhi dua permintaan kecil arwah Adib iaitu jambu batu dan bubur kacang merah.
“Sehingga sekarang saya masih terkilan. Adib ada minta hendak makan jambu batu yang ditanam di tepi rumah, namun saya tidak beri sebab sudah janji dengan menantu.
“Dia juga ada menyuarakan keinginan untuk makan bubur kacang merah dan semasa saya membawanya ke kenduri sehari sebelum kejadian, tiada hidangan itu disediakan.
“Saya berniat untuk masak sendiri dan beri kepadanya, tetapi tidak sempat. Insya-ALLAH saya akan masak bubur kacang merah yang Adib inginkan untuk jamuan tahlil nanti,” ujarnya dalam nada sebak.
Sebelum ini, pemandu bas, Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, telah memohon maaf kepada semua mangsa dan keluarga. Menurutnya, bas yang dipandu dipercayai mengalami masalah brek ketika kejadian dan kini beliau sedang mendapatkan rawatan di Hospital Taiping.
Tragedi pada awal pagi Isnin itu telah mengorbankan 15 pelajar UPSI, manakala 33 lagi cedera termasuk pemandu bas, kelindan dan empat individu dalam Perodua Alza yang turut terlibat dalam kemalangan.








