Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Bantuan kewangan berjumlah RM 1,000 akan disalurkan kepada 20 pemilik kenderaan yang ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat di Presint 11 Putrajaya pada Sabtu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan berkata, pihak Perbadanan Putrajaya juga akan membuat parkir interim yang akan memuatkan kira-kira 200 kenderaan sebagai tindakan jangka pendek.
“Selain itu, saya minta Perbadanan Putrajaya untuk menyediakan alert system dengan penggunaan siren dan amaran kepada penduduk di kawasan ini untuk alihkan kenderaan dengan segera.
“Ini boleh dilaksanakan dengan menggunakan Internet of Things (IoT) di mana sensor akan dipasang di petak-petak penyelenggaraan saliran di seluruh Putrajaya untuk mengesan tahap ketinggian air,” katanya.
Punca banjir kilat
Beliau juga memaklumkan banjir kilat tersebut berlaku disebabkan taburan hujan yang tinggi, iaitu tiga kali ganda dari taburan hujan yang biasa.
“Sejurus 15 minit selepas itu, saya dimaklumkan bahawa air telah pun mula surut. Alhamdulillah. Tetapi dilaporkan 20 kenderaan rosak kesan dari banjir kilat ini.
“Punca banjir tersebut juga berlaku kerana hujan yang lebat di bahagian hulu dan air telah naik dari Sungai Anak Gajah, menyebabkan aliran air tersekat mengakibat air tersebut overflow di kawasan yang lebih rendah ini.,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap sistem yang lebih maju untuk pembangunan baru diteroka, seperti konsep sponge city, on-site stormwater detention (OSD) atau kolam takungan bawah tanah namun ia memerlukan kajian teliti sebelum dilaksanakan sebagai dasar baharu pembangunan di Putrajaya.
Terdahulu, tular rakaman video beberapa buah kenderaan di Presint 11 yang ditenggelami air susulan hujan lebat yang berlaku pada Sabtu lalu.