Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang banduan warga Pakistan yang meloloskan diri dari Penjara Sungai Buloh pada 9 April lalu akhirnya berjaya ditangkap semula polis di Jalan Batu 14, Jalan Gombak Lama, Selangor pada Sabtu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, lelaki berusia 24 tahun itu diberkas kira-kira jam 5 petang selepas operasi memburu dipergiatkan sejak kehilangannya dilaporkan.
Menurut beliau, penangkapan semula banduan tersebut merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak dalam memastikan keselamatan awam terus terpelihara.
“Pihak polis merakamkan penghargaan atas kerjasama semua pihak yang membantu sehingga banduan ini berjaya ditangkap bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Baca juga:
- Cikgu kongsi pengalaman di sekolah terapung, bantu anak orang asli akses pendidikan
- ‘Pengisytiharan turunkan Tuanku Muhriz tidak diiktiraf’ – MB Negeri Sembilan
- Banduan lari dari Penjara Sungai Buloh diberkas semula
Sebelum ini, media melaporkan pihak polis memperhebat operasi mengesan suspek yang dikenali sebagai Muhammad Hassan selepas meloloskan diri dari tahanan.
Difahamkan, suspek berdepan beberapa pertuduhan serius termasuk kesalahan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan, Seksyen 392 Kanun Keseksaan berkaitan rompakan serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Terdahulu, Jabatan Penjara Malaysia menafikan dakwaan berhubung video tular yang mendakwa berlaku pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) melibatkan kenderaan jabatan dalam operasi pengiringan banduan ke mahkamah.
Menurut jabatan itu, operasi berkenaan melibatkan pergerakan konvoi dari Penjara Kajang ke beberapa lokasi mahkamah serta hospital di sekitar Lembah Klang, yang terdiri daripada dua buah bas dan sebuah van sebagai kenderaan pendahulu.
Sepanjang perjalanan, konvoi tersebut dilaporkan bergerak secara teratur dengan penggunaan lampu mata arah dan siren bagi tujuan keselamatan serta pematuhan SOP pengiringan. Jarak antara kenderaan juga dikekalkan secara konsisten tanpa sebarang gangguan pergerakan.
Sumber: Sinar Harian, Facebook Polis Selangor









