Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Jabatan Penjara Malaysia menafikan dakwaan berhubung video tular yang mendakwa berlaku pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) melibatkan kenderaan jabatan dalam operasi pengiringan banduan ke mahkamah.
Menurut jabatan itu, operasi berkenaan melibatkan pergerakan konvoi dari Penjara Kajang ke beberapa lokasi mahkamah serta hospital di sekitar Lembah Klang, yang terdiri daripada dua buah bas dan sebuah van sebagai kenderaan pendahulu.
Sepanjang perjalanan, konvoi tersebut dilaporkan bergerak secara teratur dengan penggunaan lampu mata arah dan siren bagi tujuan keselamatan serta pematuhan SOP pengiringan. Jarak antara kenderaan juga dikekalkan secara konsisten tanpa sebarang gangguan pergerakan.
Jabatan Penjara memaklumkan bahawa insiden kerosakan teknikal melibatkan salah sebuah bas berlaku sejurus selepas konvoi bergerak. Susulan kejadian itu, kenderaan berkenaan tidak dapat meneruskan perjalanan, dan pegawai bertugas telah mengambil keputusan untuk meneruskan pergerakan konvoi utama bagi memastikan penghantaran banduan ke mahkamah berjalan mengikut jadual serta tidak menjejaskan urusan perbicaraan.
Baca juga:
- Jururawat ‘off duty’ selamatkan wanita tercekik raih pujian
- ‘Kabinet kecam keras kenyataan didakwa hina sahabat Nabi’ – Fahmi
- RTM tamatkan siaran di Astro mulai 1 Julai ini
Dalam masa sama, pergerakan konvoi turut melibatkan pemisahan laluan yang telah dirancang, apabila kenderaan pendahulu (van) meneruskan perjalanan ke hospital, manakala bas pengiring meneruskan perjalanan ke mahkamah mengikut destinasi yang ditetapkan. Jabatan menegaskan semua pergerakan adalah selaras dengan perancangan operasi serta keperluan logistik semasa.
Sehubungan itu, Jabatan Penjara menegaskan bahawa tiada pelanggaran SOP berlaku dalam operasi tersebut dan setiap tindakan pegawai di lapangan dibuat berasaskan pertimbangan keselamatan serta keutamaan operasi.
Jabatan itu turut memaklumkan bahawa semakan dalaman akan dilaksanakan bagi menilai keseluruhan perjalanan operasi dan memastikan tahap pematuhan SOP sentiasa berada pada tahap tertinggi.
“Semua pergerakan ini adalah selaras dengan perancangan operasi dan keperluan logistik semasa. Jabatan ini menegaskan bahawa tiada pelanggaran SOP berlaku dalam operasi tersebut,” katanya.
Orang ramai dalam masa sama dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh menjejaskan imej serta integriti jabatan.








