'Balik dari kerja, isteri saya dah kaku tak bernyawa, anak berusia 4 hari menangis kelaparan' | The Reporter

‘Balik dari kerja, isteri saya dah kaku tak bernyawa, anak berusia 4 hari menangis kelaparan’

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang wanita dilaporkan meninggal dunia pada Selasa 9 Mei 2023, di rumah sewanya, selepas empat hari melahirkan anak pertamanya, dalam kejadian yang berlaku di Sabah.

Menurut sumber, kejadian itu hanya diketahui oleh suaminya, Exly Jailon, selepas pulang dari tempat kerja dan menemui isterinya terbaring kaku tidak bernyawa dalam bilik, bersebelahan dengan bayi mereka menangis kelaparan.

“Saya tidak tahu dari jam berapa isteri sudah kehilangan nyawa. Anak kami meraung menangis kelaparan. Sakit bila kehilangan orang tersayang. Kejadian ini tidak akan berlaku jika permohonan cuti saya diluluskan,” katanya.

Difahamkan, Exly yang bekerja sebagai pemandu penghantaran bekalan barang syarikatnya ada membuat permohonan cuti lama untuk menjaga dan membantu isteri menjaga anak pertama mereka. Malangnya, permohonannya itu ditolak dan hanya dibenarkan cuti selama dua hari sahaja.

Exly tiada pilihan dan terpaksa akur dengan keputusan itu walaupun tidak begitu reda. Sehinggalah pada hari kejadian, alangkah terkejutnya apabila dia mendapati isterinya sudah meninggal dunia, tanpa menjelaskan punca kematiannya.

“Bayangkanlah, balik-balik dari kerja, isteri sudah tidak bernyawa. Anak yang baru berusia empat hari menangis kelaparan di sisi ibunya yang sudah kaku tidak bernyawa.

“Saya bermati-matian bekerja dengan syarikat ini dan gara-gara itu jugalah bila saya balik dan buka pintu, nampak isteri sudah keras tidak bernyawa.

“Semasa isteri saya bersalin, mereka juga suruh datang bekerja. Bila isteri dah meninggal, senang pula mereka kata turut bersedih di atas pemergian isteri saya,” katanya.

Selepas kematian isterinya, Exly dan keluarganya berkabung. Dalam masa yang sama, pihak syarikat pula bertindak memotong gaji Exly selama 13 hari. Sedangkan pada ketika itu. dia sangat memerlukan wang untuk menguruskan anaknya yang masih kecil.

Tidak pasti apa tindakan Exly yang seterusnya. Tetapi kenalan dan netizen yang prihatin menasihatkan Exly mengambil tindakan undang-undang terhadap majikannya.

Related Posts