Seorang bakal graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dilaporkan maut dalam kemalangan pagi tadi di Kilometer 119, Jalan Tanjung Laboh, Banang Jaya.
Mangsa, Asniza Adek@Che Ahmad, 24, penuntut kejuruteraan pembuatan itu maut akibat digilis lori pada jam 8.35 pagi.
Sebelum kejadian, penuntut kejuruteraan pembuatan itu yang dijangka akan menerima ijazahnya pada 22 Oktober ini, dalam perjalanan ke tempat kerjanya dari kediamannya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, motosikal yang ditunggang mangsa merempuh belakang kereta rosak yang diparkir di tepi jalan sebelum terjatuh dan digilis lori.
Mangsa maut di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk dibedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, ibu mangsa, Siti Yuana Janamin, 44, berkata, dia menerima panggilan telefon ketika berada di tempat kerjanya, yang memaklumkan anak sulungnya daripada empat beradik itu meninggal dunia dalam kemalangan.
“Saya macam tidak percaya apa yang berlaku. Asniza pergi ketika dia bakal menerima ijazah tidak lama lagi. Dia bekerja mencari wang untuk majlis konvokesyen nanti.
“Sejak di bangku sekolah menengah, arwah sentiasa berjauhan kerana tinggal di asrama sebelum menyambung pengajiannya di Kolej Martikulasi Tangkak dan di UMPSA.
“Sebagai ibu, saya masih tidak puas bersamanya. Tapi saya perlu reda dan menerima takdir ini kerana Allah lebih menyayanginya,” katanya.
Sumber: Harian Metro