Beberapa hari lalu merupakan ulang tahun kelahiran Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin. Sempena itu juga, anak-anak kepada Allahyarhamah dan penyampai radio, Shuib iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra dan Ariq Matin berkongsikan momen ketika ibu mereka masih ada.
Antara kenangan yang mereka tidak dapat lupakan adalah ketika keluar berjalan-jalan dengan ibu mereka melakukan aktiviti seharian.
“Jogging dengan ibu, masa tu dekat rumah, kami jogging dan singgah beli nasi lemak,” kata Uwais.
“Pergi dekat IOI pastu makan-makan, best sangat,” kata Talita.
“Ibu nak suap Matin. Ibu buat bulat bulat, baru dia suap/kasi. Korang kena hargai ibu, dengar cakap ibu. Kena sayang ibu awak, kena doa ibu atau ayah awak yang dah tak ada,” kata Matin pula.
Antara ketiga-tiga mereka, Talita dilihat gagal menahan sebak apabila bercerita tentang ibunya.
“Dekta sayang kat ibu sangat-sangat. Dekta rindu ibu!
“Buat sesiapa yang kehilangan ibu atau bapa, jangan sedih sebab ibu itu dah ada kat syurga. Kalau rindu dekat ibu, baca Al-Fatihah banyak-banyak untuk dia.
“Ada orang yang dah tak ada ibu bapa lagi kesian. Siapa yang ada ibu, bersyukurlah. Jangan melawan. Ada ramai orang tak ada ibu sebab sudah meninggal dunia,” kata Talita.
Perkongsian tersebut mengundang sebak netizen apatah lagi melihat Talita yang masih bersedih dengan kehilangan ibunya.
Terdahulu, pemergian Siti Sarah mengejutkan semua pihak. Siti Sarah telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 9 Ogos 2021 selepas bertarung nyawa melawan virus Covid-19 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sumber: Instagram Siti Sarah Raisuddin, TikTok








