Ayat 'menggeletis' makan tuan, Chef Zam tampil mohon maaf | The Reporter

Ayat ‘menggeletis’ makan tuan, Chef Zam tampil mohon maaf

Kontroversi ayat menggeletis Chef Zam cetus kecaman netizen Ramadan
Ayat “menggeletis” makan tuan, Chef Zam tampil mohon maaf selepas kenyataannya disalah tafsir dan mengundang kecaman netizen. | Gambar: Optifast

Kontroversi membabitkan kenyataan seorang cef selebriti mengenai waktu pulang kerja sepanjang Ramadan terus mencuri perhatian apabila perbincangan di media sosial bertukar menjadi medan kecaman dan perbalahan terbuka.

Profesor Datuk Zamzani Abdul Wahab atau Chef Zam sebelum ini menjadi sasaran kritikan selepas perkongsiannya di Threads disalah tafsir sebagai sindiran terhadap pekerja yang pulang awal. Hanya dengan satu ayat, suasana bertukar panas dan ruang komen dipenuhi pelbagai reaksi emosi.

Satu perkataan, ribuan tafsiran

Isu tercetus apabila istilah “menggeletis” yang digunakan Chef Zam dianggap memperlekehkan realiti pekerja yang berpuasa. Menurutnya, perkataan itu hanya merujuk kepada sikap tergesa-gesa, bukan bertujuan menghina sesiapa.

“Apa yang saya maksudkan menggeletis itu adalah bergegas atau tergesa-gesa. Tapi apabila dibaca mereka, nadanya tak seperti yang dimaksudkan,” katanya.

Namun bagi sebahagian netizen, ayat tersebut dilihat seolah-olah mempertikaikan keletihan, tanggungjawab keluarga dan cabaran perjalanan jauh yang dihadapi pekerja sepanjang Ramadan. Perbezaan tafsiran itu akhirnya mencetuskan kemarahan yang sukar dibendung.

Baca juga:

Ruang komen bertukar medan serangan

Lebih mengejutkan, Chef Zam mendakwa kecaman yang diterima bukan sekadar kritikan, malah turut disertai makian dan kata-kata kesat.

“Kena cuit sikit pun tak tahan godaan dan hasutan. Siap ada pakej maki dan mencarut.

“Malah ada dalam kalangan ibu muda dan anak gadis. Gambar profil macam lindungan Kaabah, tetapi menakutkan.

“Banyak juga akaun palsu yang memang sejak dahulu suka mencarut di media sosial. Bagaimana nak habiskan 28 hari Ramadan?” katanya.

Tampil mohon maaf

Menyedari kenyataannya telah mencetuskan salah faham, Chef Zam memilih untuk tampil menjelaskan pendirian dan memohon maaf secara terbuka. Beliau mengakui kesilapan dalam memilih perkataan sehingga menimbulkan kekeliruan.

“Apapun, saya mohon maaf jika kenyataan saya menyebabkan kemarahan orang ramai. Tersilap pilih perkataan,” luahnya.

Langkah tersebut dilihat sebagai usaha meredakan keadaan serta menamatkan polemik yang semakin membesar.

Sumber: mStar Online

Related Posts