'Bring it on!' - Asyraf Wajdi sedia disaman ibu bapa pelajar dibuang MRSM | The Reporter

‘Bring it on!’ – Asyraf Wajdi sedia disaman ibu bapa pelajar dibuang MRSM

Asyraf Wajdi Dusuki berucap dengan penuh semangat sambil menunjuk ke hadapan di podium acara UMNO.
Asyraf Wajdi tegaskan tiada kompromi terhadap kes buli di MRSM.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan beliau tidak gentar jika ada ibu bapa mahu memfailkan saman terhadap dirinya dan MARA berhubung tindakan membuang pelajar yang terbabit dalam kes buli di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Katanya, keutamaan beliau adalah memastikan keselamatan majoriti pelajar terpelihara.

Keutamaan keselamatan, tiada kompromi

Menurut Asyraf, beliau dimaklumkan ada ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut, namun pendiriannya jelas, MARA tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk buli.

“Saya katakan bring it on! Saya nak jaga keselamatan majoriti pelajar, bukan segelintir yang berlagak samseng,” tulisnya di Facebook sambil menegaskan pendekatan #YouTouchYouGo akan terus digunakan.

Baca juga:

Kes terbaharu berlaku di MRSM Melaka hujung bulan lalu, melibatkan enam pelajar Tingkatan 5 yang digantung dan dicadang untuk dibuang sekolah. Asyraf mengarahkan pihak pengurusan MARA supaya tidak melayan sebarang rayuan, termasuk pertemuan dengan beliau untuk merayu pengecualian.

MRSM sebagai zon bebas buli

Asyraf berkata, matlamat MARA adalah melahirkan generasi pemimpin berakhlak dan beradab, bukannya individu yang merosakkan nilai agama dan tamadun. Beliau berazam menjadikan MRSM dan semua institusi pendidikan MARA sebagai zon bebas buli.

Pada Jun lalu, seorang pelajar Tingkatan 2 MRSM Besut mendakwa dibuli sehingga cedera oleh pelajar senior, manakala pada April, polis mengesahkan insiden buli di MRSM Seberang Perai Selatan. Dalam kedua-dua kes, pelaku dibuang sekolah serta-merta.

Sumber: Facebook Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Related Posts