Hasrat Arsenal untuk menggondol Liga Perdana Inggeris sekali lagi berkecai apabila hanya sekadar seri 2-2 dengan Crystal Palace sekaligus membuka ruang kepada Liverpool untuk menjuarai liga lebih awal.
Skuad kendalian Mikel Arteta bermula garang dengan menjaringkan goal seawal minit ketiga hasil jaringan Jakub Kiwior pada minit ketiga.
Crystal Palace menyamakan kedudukan pada minit ke-27 apabila Adam Wharton memperdaya seluruh stadium Emirates dengan menghantar bola tepat kepada Eberechi Eze di luar kotak penalti, sebelum pemain tengah Palace itu melepaskan voli cantik yang menerjah jaring selepas terkena tiang.
Arsenal tidak berdiam diri apabila Leandro Trossard bijak memusingkan badan dalam kotak penalti sebelum rembatan terkena pertahanan lawan dan menewaskan penjaga gawang, Dean Henderson.
Namun, Palace akhirnya memberikan pemain dan kakitangan Liverpool merasai kejuaraan awal apabila sentuhan lemah William Saliba dirampas oleh Jean Philippe Mateta, yang kemudiannya menewaskan David Raya dengan penyudah yang cemerlang.
Keputusan 2-2 kekal hingga ke hujung permainan menyaksikan Arsenal berputih mata sekali lagi selepas gagal meraih kemenangan ketika skuad The Gunners itu mengimpikan kejuaraan liga setelah menjadi naib juara selama dua musim.
Bakal naib juara liga buat kali ketiga itu kini hanya perlu menunggu keputusan daripada perlawanan antara Liverpool dan Tottenham Hotspur yang akan berlangsung pada Ahad di Anfield.
Liverpool yang akan bermain dalam suasana penuh keyakinan di halaman sendiri kini hanya memerlukan satu mata sahaja lagi untuk mengesahkan kejuaraan selepas kali terakhir menjuarai EPL pada musim 2019/2020.








