Masih terlalu awal ulas pencalonan Nick Adams sebagai Duta AS - Anwar | The Reporter

Masih terlalu awal ulas pencalonan Nick Adams sebagai Duta AS – Anwar

Perdana Menteri Anwar Ibrahim melambaikan tangan kepada orang ramai selepas solat Jumaat, dikelilingi pengiring keselamatan dan orang awam.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melambai kepada penyokong selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Surau Al Istiqlal, Putrajaya. | Gambar: Pejabat Perdana Menteri, FB Anwar Ibrahim

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kerajaan Malaysia belum membuat sebarang keputusan rasmi berhubung pencalonan tokoh konservatif, Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencalonan itu masih di peringkat awal dan akan dinilai mengikut prosedur diplomatik sedia ada. Beliau turut menekankan bahawa kerajaan akan terus menjaga hubungan baik antara Malaysia dan AS.

“Kerajaan akan beri pertimbangan sewajarnya dan akan ikut proses yang betul,” katanya kepada media selepas solat Jumaat di Surau Al Istiqlal, Putrajaya.

Pencalonan Nick Adams undang bantahan

Nick Adams, warga AS kelahiran Australia dan penyokong tegar Donald Trump diumumkan sebagai calon Duta AS ke Malaysia pada 11 Julai lalu menerusi kenyataan Trump di platform Truth Social. Adams digambarkan sebagai “wira patriotik” dan tokoh yang memperjuangkan nilai “keagungan Amerika”.

Namun, pencalonan itu mencetuskan reaksi keras dalam kalangan parti politik di Malaysia.

Pemuda Amanah menyifatkan pencalonan Adams sebagai satu penghinaan kepada dasar luar negara dan imej Malaysia di peringkat antarabangsa. Pemuda PKR pula menyuarakan kebimbangan terhadap pandangan ekstrem beliau yang dikatakan bercanggah dengan nilai negara ini.

Pemuda PAS Selangor turut mendesak agar pencalonan itu ditolak kerana pendirian pro-Israel dan retorik anti-Islam yang pernah dikaitkan dengan Adams. Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pula memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam pada itu menegaskan bahawa Malaysia berhak menolak mana-mana calon duta luar negara, selaras dengan norma antarabangsa menerusi proses agrément. Katanya, Kabinet masih belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada Wisma Putra dan perkara itu hanya akan dipertimbang selepas mendapat makluman rasmi.

Sumber: Bernama, The Sun

Related Posts