Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak pihak yang mempertikai usaha Malaysia dalam membantu pembangunan semula Gaza, termasuk bekas pemimpin negara yang memberi kenyataan sinis terhadap inisiatif tersebut.
Anwar menegaskan, Malaysia komited membangunkan Projek Bandar Wakaf di Gaza yang merangkumi sebuah sekolah, hospital dan masjid bagi meringankan penderitaan rakyat Palestin. Selain itu, Malaysia turut bekerjasama dengan Jepun menerusi inisiatif Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) dalam usaha pemulihan wilayah tersebut.
Bagaimanapun, beliau kesal dengan kritikan yang menganggap sumbangan Malaysia tidak mencukupi atau sekadar ‘main-main’.
“Ada yang kata kita tidak serius, jumlah projek ini ratusan juta. Ada pula bekas pemimpin kata sekolah kita sendiri pun tidak selesai, kenapa mahu tolong orang lain?
“Adakah ini sikap yang betul? Dalam Islam, kita tidak pernah diajar untuk berfikir begitu,” katanya.
Terdahulu, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz dilaporkan berkata bahawa pemimpin negara seharusnya mengutamakan keperluan rakyat sebelum melaksanakan projek pembinaan semula Gaza. Menurutnya, kerajaan perlu fokus terhadap isu di sekolah, hospital luar bandar dan tempat ibadat dalam negara.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan bahawa kezaliman yang dialami rakyat Gaza adalah tragedi kemanusiaan paling dahsyat sejak Perang Dunia Kedua.
“Hancur negerinya, dihina, tidak diberi pengiktirafan. Anak kecil, wanita, sekolah dimusnahkan. Bila kita ingin membantu, ada yang menyoal keutamaan.
“Sampai kiamat pun masalah dalam negara tidak akan selesai sepenuhnya. Tetapi ini tidak bermakna kita harus menutup mata terhadap penderitaan saudara kita di Gaza,” katanya.
Sumber: Harian Metro








