Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran keras kepada semua pihak agar tidak menyemarakkan sentimen perkauman serta menanam kebencian yang boleh menggugat keharmonian negara.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, kerajaan menyedari wujudnya pihak berkepentingan yang cuba membentuk naratif kononnya wujud layanan ‘double standard’ dalam penguatkuasaan undang-undang berkaitan penghinaan agama.
“Tuduhan bahawa kerajaan berdiam diri apabila Islam dihina adalah fitnah semata-mata. Hakikatnya, sesiapa sahaja yang menghina mana-mana agama akan tetap disiasat dan didakwa mengikut undang-undang,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi Anwar Ibrahim dan PMO Malaysia, semalam.
Beliau turut mengemukakan beberapa kes sebagai bukti bahawa tindakan tegas telah diambil tanpa mengira latar belakang pesalah. Antaranya, pelawak Harith Iskander dan Cecelia Yap Song yang masing-masing dikenakan denda RM10,000 atas kesalahan memuat naik kandungan yang menghina Islam.
Selain itu, syarikat yang terlibat dalam penjualan stokin yang mempersendakan kalimah Allah telah didenda RM60,000, peniaga jagung bakar yang meletakkan notis berbaur perkauman dikenakan denda RM400, manakala seorang lelaki yang memperlekehkan perkataan “Allah” dikenakan denda RM12,000 serta hukuman penjara enam bulan.
Jelas Tunku Nashrul, semua tindakan tersebut berlandaskan undang-undang sedia ada dan setiap kes yang dilaporkan melalui proses siasatan serta perbicaraan yang telus.
“Ini mesej jelas kepada semua rakyat Malaysia—hentikan budaya penghinaan terhadap mana-mana agama, bangsa atau budaya. Jangan biarkan isu remeh menjadi pemecah-belah ketika negara sedang berkembang ke arah masa depan yang lebih baik,” tegasnya.








