Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada keperluan mendesak untuk melakukan rombakan Kabinet walaupun dua menteri telah meletakkan jawatan baru-baru ini.
Menurutnya beliau, kerajaan kekal berfungsi seperti biasa dan penyusunan sementara akan dilakukan bagi memastikan urusan pentadbiran tidak terjejas.
“Tiada keperluan mendesak untuk rombakan sekarang. Dua menteri sudah letak jawatan, kami memberikan masa kepada mereka untuk memikirkan apa yang mereka mahu lakukan. Kini mereka sedang bercuti dan saya sudah luluskan permohonan cuti itu. Saya rasa kita tidak perlu buat andaian,” katanya.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, masing-masing telah menyerahkan surat peletakan jawatan pada 28 Mei lalu. Tarikh kuat kuasa peletakan jawatan Rafizi ialah 17 Jun, manakala Nik Nazmi pada 4 Julai.
Anwar berkata, dalam mesyuarat Kabinet akan datang, menteri lain akan diminta mengambil alih tugasan sementara kedua-dua kementerian terlibat. Ketua setiausaha juga diminta meneruskan pentadbiran seperti biasa.
“Semua ketua setiausaha diminta untuk meneruskan tugas mereka kerana kita kini berada dalam rundingan penting melibatkan ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk, China dan Amerika Syarikat, termasuk isu cadangan tarif oleh Donald Trump,” tambahnya.
Dalam pemilihan PKR 2025 yang lalu, Rafizi gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar, manakala Nik Nazmi kecundang dalam saingan jawatan Naib Presiden.
Sumber: Bernama








