Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima anugerah Ijazah Doktor Kehormat dalam bidang undang-undang daripada Universiti Shenandoah, Amerika Syarikat.
Anugerah tersebut disampaikan Presiden Universiti Shenandoah, Dr Tracy Fitzsimmons dalam satu majlis di Pusat Aktiviti Kebudayaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Gombak.
Memetik laporan Sinar Harian, UIAM dalam satu kenyataan menyatakan kehadiran Anwar ke UIAM membawa makna istimewa kerana beliau pernah memegang jawatan sebagai Presiden UIAM yang kedua dari 1988 hingga 1999.
Menyifatkan kehadiran Anwar ibarat sirih pulang ke gagang yang mengimbau kembali banyak pembangunan pesat infrastruktur UIAM telah dicetuskan semasa era kepimpinan beliau sebagai Presiden UIAM.
Dalam hantaran di Facebook, Anwar juga menzahirkan penghargaan ke atas Universiti Shenandoah atas penganugerahan yang diberikan.
“Penghargaaan buat Shenandoah University, Virginia, Amerika Syarikat atas penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat dalam bidang Undang-Undang.
“Saya berharap agar kerjasama erat antara UIAM dan Shenandoah University terus diperkukuh untuk kelangsungan para pelajar dalam mempelajari nilai dan budaya sekali gus membolehkan golongan muda membentuk dunia yang lebih bertoleransi dan aman,” katanya.








