Anggota polis didakwa merompak jongkong emas bernilai RM580K | The Reporter

Anggota polis didakwa merompak jongkong emas bernilai RM580K

Anggota polis merompak jongkong emas
Gambar hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang anggota polis, Koperal Muhammad Arieff Marhalim, 40, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak jongkong emas, wang tunai dan telefon bimbit milik seorang lelaki warga Bangladesh, bulan lalu.

Muhammad Arieff didakwa bersama seorang lagi individu yang masih bebas, melakukan rompakan terhadap Robin Miah membabitkan jongkong emas seberat 1,499.81 gram bernilai RM580,345.26, wang tunai RM7,000 dan telefon bimbit Redmi Note 13.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Pudu, Dang Wangi, antara jam 12.25 tengah hari hingga 3.15 petang pada 26 November lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin, mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin. Bagaimanapun, peguam Shah Rizal Abdul Manan yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya masih berkhidmat dan mempunyai tanggungan keluarga termasuk tiga anak.

Hakim Izralizam Sanusi membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sumber: Bernama

Related Posts