Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan tegas terhadap salah laku anggota yang memandu kenderaan jabatan secara berbahaya seperti dirakam dalam satu video tular di media sosial baru-baru ini.
Video yang dipercayai dirakam pada 9 Julai 2025 di Simpang Pulai, Perak, memaparkan kenderaan JPJ dipandu dengan melanggar peraturan lalu lintas termasuk memotong di garisan berkembar.
Susulan aduan awam yang diterima, JPJ memandang serius perkara tersebut dan telah mengambil beberapa tindakan serta-merta terhadap anggota yang terlibat, iaitu pengeluaran notis saman kepada anggota terlibat atas kesalahan memotong di garisan berkembar, larangan memandu kenderaan jabatan dan gantung tugas serta penempatan sementara anggota tersebut ke jawatan kumpulan di Ibu Pejabat JPJ sehingga siasatan selesai.
JPJ turut memaklumkan bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan bagi menyiasat kemungkinan kesalahan lain yang dilakukan oleh anggota terbabit untuk tindakan susulan.
Baca juga:
JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak
Dalam kenyataan sama, JPJ menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku pengguna jalan raya termasuk anggota serta kakitangan jabatan sendiri. JPJ juga merakamkan penghargaan kepada orang awam yang telah membantu merakam dan melaporkan pelanggaran undang-undang jalan raya.
JPJ turut menggalakkan orang ramai untuk terus menyalurkan aduan secara terus atau real-time melalui Aplikasi MyJPJ, e-mel ke aduantrafik@jpj.gov.my, atau melalui platform e-aduan@jpj, beserta dengan butiran lengkap aduan.
Sumber: Facebook JPJ










